Monday, July 04, 2011

RINGKASAN


1. Malaysia menyaksikan beberapa demonstrasi jalanan telah diadakan sejak zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi.
2. Tidak pernah ada sebarang titah yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara bagi Malaysia berkaitan demonstrasi yang lepas. Ini sekaligus sesuai dengan posisi Baginda sebagai Ketua Negara dan berpaksikan kepada konsep Raja Berperlembagaan, yang mana Baginda adalah berkecuali dan ‘atas’ dari segala pengaruh politik dan bertindak sebagai lambang penyatuan kepada seluruh rakyat Malaysia.
3. Namun semalam Istana Negara telah pun mengeluarkan titah khas dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang menasihatkan agar semua pihak yang mahu mengadakan demonstrasi untuk membatalkan hasrat masing-masing atas nama keamanan.
4. Si penghikayat yakin bahawa titah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong semalam merupakan keresahan dan kegusaran dari batang tubuh Paduka Baginda sendiri tanpa sebarang ‘pencerobohan’ dari mana-mana pihak. Sudah tiba masanya semua untuk bertenang dan berfikir sedalam-dalamnya titah dari Baginda Duli Yang Dipertuan.
5. Si penghikayat merupakan antara yang pernah bersama-sama turun di jalanan untuk demonstrasi tak beberapa lama dulu. Dan terus memegang kepada prinsip bahawa SEMUA RAKYAT MALAYSIA BERHAK UNTUK MENUNTUT HAK SEPERTIMANA YANG TELAH DIJAMIN FASAL 10 (1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA. Demonstrasi adalah PERLU apabila ia merupakan JALAN YANG TERAKHIR untuk menuntut sesuatu yang telah dinafikan haknya oleh pihak-pihak yang tertentu.
6. Namun begitu, hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipegang dan dipertahankan dalam kerangka yang lebih besar, iaitu selagi mana ia tidak membawa kerosakan dan darurat kepada negara. Ini juga turut bersesuaian dengan tafsiran Fasal 10 (2)(a) yang pada pendapat si penghikayat, telah dilupakan atau dipadamkan oleh mereka yang mahu mengadakan demonstrasi BERSIH 2.0 ini.
7. Pada hemat, adalah tidak bijak dan kurang molek untuk penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan demonstrasi seperti yang dirancang.
8. Ini kerana berbanding dengan demonstrasi yang lepas, BERSIH 2.0 ini menampakkan kemudaratan yang amat dahsyat jika terus dilaksanakan. Amaran demi amaran serta ugutan yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan yang berbahaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang mahu menunjukkan jaguh. Jika setiap amaran dan ugutan ini diambil dan direnung dengan sedalam-dalamnya, ternyata kemudaratan yang amat dahsyat akan terjadi.
9. Berundur tidak bermakna lemah, tetapi satu cara menysun langkah yang lebih mantap dari akar umbi. Pembatalan demonstrasi kali ini mampu memberi isyarat kepada rakyat bahawa perjuangan BERSIH 2.0 sememangnya untuk rakyat, dan bukannya untuk kepentingan individu atau parti politik.
10. Demonstrasi tidak bermakna rakyat akan faham akan tujuan BERSIH 2.0. Fahamkan rakyat akan hak mereka dan tuntutan BERSIH 2.0 itu lebih bernas dari berdemonstrasi dan berkonfrantasi dengan mereka yang jahil dan buta hati.
11. Dan kedegilan oleh pihak penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan demonstrasi pasti akan digunakan sepenuhnya oleh pihak seberang untuk menggunakan sentimen yang pasti mengguris hati setiap anak Melayu dan terus membiarkan anak Melayu untuk terus buta hati dan perasaan, yakni MENDERHAKA KEPADA SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG.
12. Percayalah, tindakan yang diatas hanya menjauhkan lagi rakyat kepada matlamat murni BERSIH 2.0. Usah asyik menyalahkan kerajaan yang sememangnya kita semua ambil maklum akan kebobrokan dan kebejatan didalamnya. Gunakan segala jalan yang ada sebaik dan sehalusnya. Gunakan kebobrokan dan kerosakan itu sebagai kekuatan kepada kita, dan bukannya najis kepada matlamat perjuangan. Tarik benang didalam tepung, benang jangan putus, tepung jangan pula berselerak.
13. Kerajaan pula seharusnya menginsafi dengan titah Paduka Tuanku apabila Baginda menyeru pihak kerajaan untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bijaksana.
14. Akhirnya, si penghikayat amat tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai pelindung dan payung mahkota bumi Malaysia ini. Konteks titah Baginda haruslah dibaca sebagai seorang ‘Ayah’ kepada anak-anaknya tanpa merujuk kepada mana-mana. Terpulang pada si anak dan si pentafsir untuk mentafsirkan nasihat dari ‘Ayah’ samada merujuk kepada anak yang mana.
15. Sekian. Ringkasan pendapat hamba. Mohon untuk berbeza

2 comments:

  1. YDPA ada penasihat politik. dan penasihat politik YDPA lantikan kerajaan.

    ReplyDelete
  2. suara saudara seperti menafikan kebijaksanaan YDPA didalam membuat keputusan.

    Sungguh, YDPA hendaklah menjalankan tanggungjawab sebagaimana termaktub didalam Perlembagaan tetapi didalam keadaan-keadaan tertentu, Baginda diberi kuasa yang sememangnya tidak terdapat didalam Perlembagaan.

    Hak untuk mendapat maklumat, Hak untuk menasihat dan Hak untuk memberi amaran merupakan 'kuasa' yang diwarisi oleh Baginda sebagai Ketua Negara dan Baginda mampu pd pendapat saya menggunakan kuasa dan Hak seperti diatas untuk mengeluarkan titah khas BERsIH :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...