Friday, April 27, 2012

Menjelang BERSIH 3.0 : Satu Pandangan

Bismillahirahmanirahim, Salam.

Dah lama blog ni tak diupdate, semua blogger SayaBudakMelayu.blogspot sibuk dengan urusan masing-masing agaknya. Tambah-tambah saudara Izzat Ghazali yang tengah "honeymoon" lagi rasanya.

Besok, 28 April 2012 akan diadakan :

Post ni bukan ajakan/jemputan ke sana atau larangan untuk menyertai BERSIH 3.0, tapi sebagai satu pandangan dari kaca mata seorang rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dan bertindak secara natural tanpa pengaruh dari mana-mana parti politik atau agenda luar.

Sebelum ini, negara dah dikejutkan dengan insiden yang berlaku pada BERSIH 2.0 di mana kekasaran dapat diperlihatkan kepada umum bagaimana pihak berkuasa menangani event tersebut di mana satu nyawa telah terkorban.

Penulis kurang mengikuti perkembangan post-BERSIH 2.0 tetapi apa yang dapat diperkatakan, pengakhirannya tidak seperti dijangkakan. Bukan mahu salahkan mana-mana pihak samada menganjur atau pihak berkuasa.

9 tuntutan yang dibuat pada BERSIH 2.0 nampaknya hanya satu sahaja yang diterima iaitu penggunaan dakwat kekal kalau tidak salah yang lainnya bagai diabaikan oleh pihak kerajaan.

Besok, BERSIH 3.0 akan berlangsung dan membawa 9 tuntutan yang sama dan kali ini akan dibuat secara DUDUK & BANTAH.

Penulis berpendapat bahawa penganjuran BERSIH 3.0 adalah tidak perlu. Kenapa? Adakah penulis pro-BN? Penulis diracuni anasir-anasir dan pengaruh UMNO?

Tidak sama sekali, apa yang buatkan penulis rasa BERSIH 3.0 adalah sesuatu yang tidak patut dianjurkan:

1. Tidak mahu perkara yang tidak diingini sepertimana yang berlaku pada BERSIH 2.0 samada di Malaysia mahupun di luar negara contohnya di mana ada segelintir pelajar yang menyertai perhimpunan tersebut digantung/dibuang dari institut pengajian dan perkara ini menyebabkan berlaku perbalahan. Dan apa yang dapat kita lihat, cara menangani perhimpunan ini oleh pihak berkuasa yang terlalu kasar dan menyebabkan banyak kecerderaan. Inikah yang kita mahu ia berulang? Adakah kita yakin kali ini mereka tidak bertindak sama?

2. Secara amnya, kita tahu bahawa apabila berlakunya sesuatu yang membuatkan kerajaan mengarahkan "kawalan keselamatan" ini akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan besar wang negara untuk menempatkan pasukan-pasukan keselamatan. Pernahkan anda terfikir, jikalau dalam keadaan aman pun boleh berlakunya ketirisan wang negara, dalam situasi begini adalah satu peluang yang akan diambil oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan penyaluran wang negara. Dengan secara tidak langsung BERSIH 3.0 membantu/mempermudahkan proses merugikan negara.

3. Keberkesanan yang tidak pasti. DUDUK DAN BANTAH, adakah ia berkesan? Secara rasionalnya, kalau kerajaan tidak mengambil endah dan membiarkan sahaja apa yang berlaku, adakah 9 tuntutan itu akan dilaksanakan? Adakah dengan buat sebegini kerajaan akan menerima tuntutan-tuntutan yang dibuat? Fikirkan. Takkan mahu buat benda yang sia-sia 2 kali?

4. Berkenaan tempat penganjuran yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa DBKL, kenapa mahu diteruskan? Cuba kalau orang bangladesh datang rumah dan nak lepak-lepak dalam halaman rumah kita seharian. Yang datang tu pulak ramai-ramai, anda ok ke kalau mereka berkeras nak lepak jugak?

5. Mereka dah membenarkan penggunaan Stadium Merdeka, kenapa tak terima? Alasannya sebab tak sempat nak tukar tempat? Rasanya anda tak ada pun pasang khemah banyak-banyak dan cathering makan-makan untuk besok kan? Jadi apa masalahnya? Bukannya tempat yang dibenarkan tu diubah terlalu jauh dari tempat rancangan asal.

6. Pukul 2 petang, tak panas ke dok? Duduk rumah berehat bersama keluarga rasanya lebih best. Luangkan masa dengan keluarga di tempat yang selesa adalah lebih bermanfaat.

7. Baru-baru ni berlangsung debat antara KJ dan Ambiga berkenaan isu BERSIH. Rasanya ini adalah sesuatu medium yang sangat bagus dalam memberikan hujah-hujah sebab kenapa ia perlu dan tidak perlu dilakukan. Tempat pun selesa. Tidak mendapat liputan? Carilah di Youtube. Jadi, ini menunjukkan adanya medium alternatif yang lebih baik dan dari situ kita boleh dengar penerangan-penerangan yang lebih jelas melalui sesuatu perkara berbanding hanya bersorak BANTAH.

8. Yang paling tak best adalah selepas dari perhimpunan itu sendiri. Apa ya? Ingat lagi video pasal BERSIH 2.0 dulu? Last part ada sorang pemuda ni jalan dan tolong kutip dan buang SAMPAH-SAMPAH yang dihasilkan dari perhimpunan BERSIH. Capai matlamat? FAILED!

Pasal ditaja oleh orang luar atau agenda tersembunyi itu malas nak komen sebab penulis tidak berminat. Jadi, ini hanyalah sekadar pandangan. Tidaklah penulis memaksa sesiapa menerima pandangan ini.

Lagipun, sebagai seorang Muslim, penulis rasa kita masih ada cara yang lebih baik dan efektif.

Post ini hanyalah pandangan penulis seorang bukan merangkumi pandangan semua blogger-blogger SayaBudakMelayu.blogspot. Mereka punyai pandangan mereka sendiri.

Kalau yang betul itu, betullah. Kalau berbeza pandangan itu, biasalah. Kita semua ada pandangan masing-masing.

Wassalam.

Tuesday, February 14, 2012

Hang Tuah: Antara Hikayat dan Fakta.

Prof. Dr Syed Naquib al-Attas, seorang Ilmuwan dan Failasuf Agung Melayu masani didalam karyanya yang terbaru, Historical Fact and Fiction telah mengemukakan satu teori terbaru yang bakal mengubah sekali lagi penulisan sejarah tanah air mahupun seluruh Nusantara barangkali.

Antaranya, apabila beliau membincangkan asal dan usul nama Sumatera yang pada pendapat beliau telah disalahtafsirkan. Sejak Marsden didalam penulisannya History of Sumatra pada 1783, kebanyakan ilmuwan dan sejarawan barat telah membuat kesimpulan yang satu apabila berbicara tentang akan asal usul nama Sumatera. Sumatera pada pendapat mereka sudah tentunya berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Samudra ataupun Suwarna. Samudra didalam Sanskrit dan juga dipinjam didalam Bahasa Melayu sebagai laut, manakala nama Suwarna pula mungkin diambil dari buku al-Biruni yang mana mencatatkan bahawa orang India pada suatu ketika dahulu memanggil kepulauan Sumatera dan Jawa sebagai Suwarnadib, ataupun Suvarnadvipa, yang bermaksud Pulau Emas, memandangkan sejarah perdagangan yang panjang antara Benua Keling dan Nusantara ini khususnya berkaitan dengan emas, yang mana pernah menjadi barang dagangan utama pada ketika itu.

Namun, Prof.Syed Naquib al-Attas menyangkal dan menolak hipotesis dan teori yang dikemukakan oleh sekelian orientalis barat selama ni didalam bukunya yang terbaru ini. Sebaliknya, beliau mengangkat satu kitab sejarah dari bangsa Melayu itu sendiri, yakni Hikayat Raja-Raja Pasai apabila persoalan berkenaan asal nama Sumatera ini dibangkitkan. Didalam Hikayat Raja-Raja Pasai, diceritakan akan asal usul nama Sumatera dengan jelasnya. Diceritakan bahawa apabila Merah Silau menaiki takhta kerajaan, ternampaklah baginda akan satu semut besar yang dikatakan sebesar kucing lalu melintas dihadapan baginda. Terkejut dan takjub akan kejadian tersebut, maka ditangkaplah semut itu dan dimakannya, dan ditempat itulah baginda membina istana kerajaannya lalu menamakan tempat itu sebagai Samatra atau Semut Raya, yang bermaksud Semut Besar.

Sudah tentu, apabila dikatakan hikayat, dan jalan cerita yang pada hemat para orientalis barat sebagai tidak masuk akal, akan ditolak sementah-mentahnya tanpa perlu dikaji lagi. Mana mungkin wujud seekor semut sebesar kucing diatas muka bumi ini? Maka apabila membincangkan tentang Hikayat Raja-Raja Pasai, para sejarawan termasuklah sejarawan tempatan telah menolaknya dan hanya mengklasifikasikannya sebagai satu sastera klasik berunsur sejarah yang tidak boleh dipakai. Namun disangkal oleh YM Prof Syed Naquib al-Attas didalam bukunya yang terbaru ini. Apa yang dikemukakannya ialah bahawa Semut Raya itu wujud. Sejarah Merah Silau bertemu semut sebesar kucing itu sememangnya wujud! Dan ia bukanlah satu rekaan dan fiktif semata-mata.

Maka dibongkarkannya sebuah kitab perjalanan lama Arab Aja’ib al-Hind yang dikarang oleh Buzurg ibn Shahriyar yang ditulis dalam lingkungan masa abad ke-10 masihi. Didalamnya dilaporkan oleh seorang yang bernama Muhammad ibn Babishad yang mana menyatakan pada utara Sumatera,

Terdapat semut yang sungguh besar, terutamanya di Pulau Lamri yang mana mereka itu membesar..

.......................................................................................................................................................

Apa kaitan Hang Tuah dengan diatas? Mudah, kedua-duanya ditafsirkan dan digolongkan oleh para sejarawan tempatan khusus yang berpendidikan dan mempunyai pandangan alam barat sebagai mitos, mustahil dan hanya khayalan. Sekali pandang, mana mungkin akan wujud semut sebesar kucing seperti dinyatakan didalam Hikayat Raja-Raja Pasai? Hang Tuah pula wujud hanya sebagai satu perlambangan, satu lambang kepada seruan untuk kebangkitan bangsa Melayu yang baru sahaja dijajah oleh Feringgi pada awal penulisannya.

Dan kita yang tidak mengkaji dan mengharapkan ehsan dan bantuan bangsa lain untuk mencari dan membongkar khazanah sejarah sendiri akan tunduk mengiyakan apa yang telah ditulis. Para sejarawan tempatan yang dilatih dan diindoktrinasikan dengan cara pemikiran barat akan turut menyokong fakta yang diberikan oleh para orientalis terdahulu. Tiada usaha untuk mencari, mengkaji dan menyelami sejarah bangsa sendiri. Tak habis-habis dengan hanya menunggu untuk disuap, dan bukan menjadi orang yang menyuap.

Ini jawapan Hamba kepada persoalan yang dibangkitkan apabila Prof Emeritus Khoo Khay Kim mempersoalkan kewujudan Tun Tuah. Dan ini juga jawapan Hamba kepada mereka yang menggelakkan apabila Melayu dikatakan bangsa awal manusia. Persoalan yang paling asas didalam banyak-banyak soalan.

Jangan salahkan Prof Khoo Khay Kim apabila menafikan Laksamana Tun Tuah dan Puteri Hang Li Po. Salahkan kita sendiri kerana gagal memahami sejarah bangsa sendiri. Salahkan kita sendiri yang memandang rendah kepada kebijaksanaan leluhur kita. Salah kita sendiri sebenarnya.

Hendaklah pengkaji sejarah Islam itu hidup dengan aqal, ruh dan perasaannya....Syed Qutb, al-Tarikh Fikrah wa Minhaj

.......................................................................................................................................................

Hang Tuah, Tun Tuah? Wujudkah susuk ini? Yang dikatakan manusia terbilang ini?

Yang Dimuliakan Prof.Emeritus Tan Sri Khoo Khay Kim menafikan dan mempersoalkan kewujudan Laksamana Agung Kesultanan Melaka Darussalam ini dengan mengambil kira rujukan silang yang dilakukan khusus didalam rekod Dinasti Tanah Besar China yang memerintah pada ketika itu, Dinasti Ming. Oleh kerana tiadanya rekod yang menyebut nama Hang Tuah, maka Laksamana Agung ini tidak wujud! Semudah itu!

Suka Hamba rujuk kepada Annotated Sources of Ming History, including Southern Ming and works on Neighbouring Lands 1368-1661, jilid 1 halaman 227 yg mana, diantara lain penulis tersebut menyatakan bahawa Dinasti Ming merupakan Dinasti yang paling diabaikan sejarahnya. Walaupun disebutkan alasan yang diberikan ialah kerana keberatan dari pihak sejarawan dan para ilmuwan setelah kejatuhan empayar Ming untuk menulisnya kerana polisi yang diamalkan oleh Dinasti Qing, empayar selepas kejatuhan Ming yang begitu sensitif dengan sebarang usaha untuk mengembalikan Dinasti Ming.

Disebut juga bahawa antara sebab kepada tiadanya penumpuan para sejarawan kepada Dinasti Ming ini kerana tiadanya kemajuan yang signifikan yang dilakukan semasa pemerintahan Dinasti Ming. Namun, kita tahu bahawa Dinasti Ming ini jugalah yang telah mengerahkan angkatan laut terbesar pada abad itu dibawah seorang Laksamana Muslim bernama Zheng He dan melawat Melaka untuk persinggahannya sebelum terus bergerak ke barat dan termasuklah Mekah. Jadi timbul persoalan kenapa Dinasti yang membawa perubahan kepada China ini tidak dianggap mundur dan lemah dan terus diabaikan? Rujuklah The Ming Empire: Patron of Islam in China and South-West Asia, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society , 1988, halaman 1-44 untuk mereka yang mahu mengkaji lebih lanjut.

Perlu juga ditekankan disini yang penulis ini juga mengakui banyak rekod-rekod dizaman Dinasti Ming telah dimusnahkan khusus semasa pemerintahan Dinasti Qing. Akhirnya persoalan timbul, adakah laporan dan rekod berkenaan Hang Tuah, Hang Li Po mungkin antara yang dimusnahkan? Dan adakah adil untuk sesiapa menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan himpunan rekod yang tidak lengkap dari Dinasti China?

Terdapat 32 buah naskah dan 6 edisi Sulalatus Salitin atau dikenali juga dengan nama Sejarah Melayu secara keseluruhannya. Dan di setiap naskhah itu, terdapat perbezaan ketara antara satu sama lain, seperti siapa pengarangnya, bila Melaka ditubuhkan, siapa pengasas kepada Melaka dan sebagainya. Tidak perlu untuk berbincang secara panjang, yang ingin Hamba berikan perhatian ialah pertama tentang tarikh kewujudan Melaka. Tahun lepas, Pemerintah (bukan Kerajaan kerana Melaka sudah tidak beraja) Melaka telah mengumumkan tarikh baru penubuhan Melaka, iaitu hmpir 200 tahun lebih awal dari mana pemahaman sebelum ini. Menurut naskah versi Raja Bongsu, Melaka ditubuhkan pada 1262 Masihi bersamaan 660 Hijrah. Dan kalau benar Melaka ditubuhkan pada abad ke-13, maka Dinasti yang memerintah Tanah Besar China pada ketika itu ialah Dinasti Song dan Dinasti Yuan.

Adakah mungkin nama Hang Tuah tidak terdapat didalam rekod Dinasti Ming yang serba tidak lengkap kerana nama beliau terdapat didalam rekod Dinasti Song dan Yuan? Adakah terdapat usaha untuk merujuk kepada rekod Song dan Yuan berdasarkan versi Raja Bongsu yang diterima kini sebagai versi yang paling lengkap dan terperinci?

........................................................................................................................................................

Ya, kewujudan Hang Tuah dikatakan masih kabur. Usaha demi usaha telah dilakukan untuk merendahkan martabat Hang Tuah ini dilakukan. Dari klaim yang mengatakan Hang Tuah ini sebagai bangsa Cina, hinggalah menafikan terus kewujudan Hang Tuah membuktikan peri penting Hang Tuah direndahkan dan menghilangkan seorang perwira bangsa Melayu. Kesannya cukup besar, bagi sesiapa yang faham.

Begitu banyak bukti kewujudan Hang Tuah, tapi semuanya ditolak. Keris Taming Sari, yang kini menjadi lambang kebesaran dan regalia Kesultanan dan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang menjadi saksi kepada kewujudan tubuh bernama Laksamana Tun Tuah juga belum cukup untuk mengatakan bahawa Laksamana Agung Melayu ini wujud. Malahan, nasab lengkap Hang Tuah seperti diberikan Christopher Buyer juga ditolak? Apa lagi bukti yang diperlukan? Rekod dari China?

Pergilah ke Bintan tanah kelahiran Tun Tuah, pergilah ke Kelantan, Pattani, dan Pahang, keturunan Laksamana Agung ini bertaburan di bumi Melayu ini, Cuma tidak sedar akan kelebihan dan mungkin tidak mahu menonjolkan diri mereka kerana Melayu itu sifatnya merendah diri.

Tun Ali bin Datuk Paduka Tuan Jelai Tun Hamzah bin Tun Mat Ali bin Sang Naya Hang Nadim (berkahwin dengan anakanda Laksamana Tun Tuah, Tun Emas Jiwa selain anakanda sulongnya, Laksamana Sang Guna)... Tun Emas Jiwa Binti Tun Tuah bin Hang Mahmud.....

.......................................................................................................................................................

Jangan salahkan leluhur kerana dikatakan tidak menulis sejarah bangsa, kerana tidak tepat dan mencampur adukkan sejarah dan hikayat. Salahkan diri sendiri kerana tidak dapat melihat kebijaksanaan mereka didalam menulis dan kebebalan sendiri yang hanya melihat sesuatu dengan pandangan kasar, bukannya mata hati.

Hang Tuah tidak masuk akal? Lihat dengan mata hati, kaji, dan selami. Kalian akan terpukau dengan bangsa bernama bangsa Melayu ini.

Nama sumatera memakan masa hampir 600 tahun untuk dibongkarkan rahsianya. Sudah tiba masa untuk kita menunjukkan bahawa Laksamana Tun Tuah itu sememangnya wujud!

Takkan Melayu Hilang di Dunia.....

.ARYAMEHR.


Rujukan: Historical Fact and Fiction, Syed Muhammad Naquib al-Attas

Annotated Sources of Ming History, including Southern Ming and works on Neighbouring Lands 1368-1661, Wolfgang Franke

From the Mediterranean Sea to the China Sea: Miscellaneous Notes, C. Guillot

Genesis Autograf Sejarah Melayu, V. Thilagavathi Gunalan.

Catatan Merah Silu, Radzie Sapie

Tuesday, January 24, 2012

Selamat Pengantin Baru

Pihak Saya Budak Melayu ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada co-blogger Saya Budak Melayu iaitu saudara Izzat Ghazali yang baru sahaja membina masjid.

Semoga tali ikatan yang dihasilkan dari medium yang halal dan diredhai ini menambahkan rezeki, mempermudahkan segala urusan dunia mahupun akhirat dan semoga segala-galanya diRahmati Allah.

Para pengunjung bolehlah tinggalkan komen2, nak kasi cadangan nama anak ke, nak suggest tempat best honeymoon ke dan apa-apa sajalah.

Awang Bagan bila lagi?

Friday, January 13, 2012

Dato' Dr Hassan Ali : buktikanlah!


Bismillah walhamdulillah.

Hassan Ali bukanlah satu figura yang kecil di Malaysia. andai diumpil sosok silamnya, Hassan Ali sangat sinonim dgn Program Summer Camp, Smart Learning dan pelbagai program motivasi yg lain anjuran AKRAB (Akademi Keluarga Bahagia) di bawah kelolaan beliau. Beliau yang pernah diangkat memegang jawatan tinggi kerajaan, sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara JPM suatu ketika dahulu, memilih untuk menganggotai PAS, dan seterusnya mendaki tangga kepimpinan sehingga pernah merasa jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Umum mengetahui berita pemecatan Hassan Ali daripada PAS, dan secara pukal menyifatkan PAS tidak wajar mengambil tindakan sedemikian lantaran pengaruh beliau yang bukan sahaja sedikit dalam kalangan pendokong gerakan PAS sendiri. Di saat Umno sedang bertarung bagi menafikan persepsi ramai yang menyifatkan politik perkauman tajaan mereka sudah tidak relevan, krisis pemecatan seumpama ini difahami ramai tidak menguntungkan PAS.

Dalam kita bergerak sebagai satu organisasi, matlamat organisasi haruslah menjadi keutamaan berbanding pencapaian sendiri. Pasukan bola sepak sendiri pun masih memerlukan disiplin yang tinggi, kepatuhan kepada manager, dan strategi yang baik dalam memburu kemenangan. Dan sekiranya setiap pemain diberikan peluang untuk mencerap corak tersendiri, persefahaman gagal dicapai seterusnya membawa kepada kekalahan pasukan.

Begitu juga dengan PAS, ada disiplin parti yang harus disempadani, juga wujud manhaj perjuangan yang perlu dituruti. Kekerapan beliau membuat kenyataan terbuka, yang mengkritik dasar parti membuatkan ahli bawahan PAS mula tidak senang duduk. Tuduhan 'tidak-bersetuju' dengan negara berkebajikan yang sudah disimen kemas pada pusaranya dibimbangi bakal menimbulkan polemik yang lebih besar seandainya tidak dibasmi lebih awal.

Strategi PAS dalam menggantikan Islamic State kepada Welfare State bukanlah satu bentuk penyelewengan PAS. Tuduhan PAS tidak istiqamah dalam memperjuangkan Islam adalah silap. Imbau kembali bagaimana ralatnya reaksi sahabat apabila perjanjian Hudaibiah dimaterai. Kalimah Bismillah, Rasulullah yang digugurkan, akta-akta yang dipersetujui baginda Rasulullah dilihat lebih menguntungkan pihak kuffar. Tapi, amati sendiri impak daripada toleransi Nabi, dalam PAS berusaha meneladani.

Sangat malang seandainya figura Hassan Ali tidak lagi membawa panji PAS, namun dalam mendepani zaman, PAS melihat, ini adalah jalan yang terbaik. Andai disingkap sirah para sahabat Rasulullah terdahulu, kita menyaksikan betapa Khalid al-Walid sendiri pernah dipecat daripada jawatannya. Mengapa? Bukan kerana kelemahan Khalid, bukan juga kerana kekurangan, namun disebabkan keperluan untuk meyakini Allah lebih daripada yakin kepada seorang Khalid al-Walid.

Cukup indah ungkapan Khalid, "sesungguhnya Allah-lah yang tahu setiap yang terbaik untukku. di kala aku menjadi pemimpin, mencari kemenangan adalah sasaran. namun tatkala aku dipecat, cita-cita syahid akan bersemarak." Justeru, walaupun Hassan Ali dipecat, mengklasifikasi beliau munafik, adalah silap, menelah futur dari perjuangan juga tidak tepat. Ingatlah para jundullah sekalian, jalan dakwah cukup luas, sedangkan PAS hanya-lah satu wasilah. Apapun, beliau masih diberikan peluang merayu, dan "Dato', masa untuk membuktikan kesetiaan Dato' kepada perjuangan telah tiba. Buktikanlah, betapa saya tidak silap meyakini keikhlasan Dato',"

Wallahua'lam.

izzat ghazali.
universiti islam antarabangsa malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...