Sunday, August 21, 2011

Pelita itu Hindu!


Kita sudah masuk pada 21 Ramadhan untuk tahun ini. Maknanya hanya tinggal 9 hari lagi Ramadhan ini akan berakhir dan masuk pula bulan Syawal, bulan yang pada masa kecil kita dahulu, bulan yang paling kita tunggu-tunggu sepanjang tahun itu.

Bila masuk 10 hari terakhir, satu adat Melayu yang hanya akan ada pada 10 malam Ramadhan terakhir yang juga dikenali sebagai malam tujuh likur ini ialah adat memasang pelita.

Sebelum itu, ingin juga Hamba berikan makna likur itu. Likur itu sebenarnya mengikut Ayahanda Hamba bermaksud satu perbilangan antara 20-30. Maknanya antara angka 20 hinggalah angka 30 itu, disebut sebagai likur, contohnya 1 Likur (Malam 21), 2 Likur (Malam 22), 3 Likur (Malam 23) dan seterusnya.

Berbalik kepada isu pelita, ramai yang mengatakan itu sebenarnya meniru adat Hindu seperti mana mereka menyambut Diwali (Deepavali), dan tidak harus dan sepatutnya diamalkan dan bid’ah.

Pada Hamba, memasang pelita itu sebenarnya berbalik kepada niat masing-masing.

Jikalau betul ia menyerupai agama Hindu, izinkan Hamba memberi sedikit info berkenaan adat Hindu memasang pelita pada waktu Diwali ini memandangkan Hamba juga seorang Indologist. (rangkaian ke Wikipedia untuk maksud).

Menurut agama Hindu, menyalakan Diya (pelita) mempunyai signifikan agama yang mendalam. Dan api juga merupakan instrument penting didalam upacara keagamaan Hindu. Bahkan, cahaya dari Diya itu satu lambang kepada Tuhan. Ini berdasarkan satu mentera didalam antara salah satu kitab suci Hindu, Upanishad (rangkaian ke Wikipedia) yakni;

Om Ashota Ma Satgamaya,

(Oh Tuhan yang Agung, Pimpinlah kami keluar dari penipuan kepada kebenaran)

Tama Shoma Jyotir Gamaya,

( Dari Kegelapan kepada Cahaya)

Mrityorma Amritamgamaya,

(Dari Kematian kepada Kehidupan Kekal)

Om Shanti, Shanti, Shanti Om

(Oh Tuhan yang Agung, Aman, Aman, Aman Tuhan yang Agung)

Api itu dianggap sebagai semangat Tuhan. Api juga melambangkan kepada kebaikan mengalahkan kerosakan sepertimana yang disambut didalam Diwali. Ia juga melambangkan Atman,cahaya dalaman seseorang manusia itu yang tulus dan suci. Bagi mereka, tanpa Api, tiadalah kehidupan yang mana setiap manusia dan kehidupan didunia ini memerlukan cahaya.

Didalam perayaan diwali, pelita/diya dipasang untuk menandakan kemenangan kebaikan dari keburukan dan kerosakan.

Berbalik kepada budaya Melayu, pemasangan pelita tidak pula dikaitkan seperti mana yang didalam agama Hindu iaitu merayakan kemenangan kebaikan dari keburukan?. Jadinya Hamba tertanya-tanya dimana persamaan diantara pemasangan pelita sepertimana Melayu pada malam 7 likur dan perayaan Diwali oleh penganut Hindu? Hanya disebabkan memasang pelita terus dituduhnya meniru agama Hindu? Tanpa memahami falfasah disebalik pelita semasa sambutan Diwali?

Ramai yang mengaitkan pemasangan pelita ini dengan Lailatul Qadar dan Malaikat. Bagi Hamba, jikalau benar ini merupakan sebab disebalik adat pemasangan pelita ini pada malam 7 likur dan ‘menyambut’ Malaikat, apa salahnya?

Menyambut Malaikat disini bukanlah bermakna Malaikat itu buta. Tak juga bermakna Malaikat hanya akan pergi ke rumah yang memasang pelita pada malam Lailatul Qadar dan sebaliknya.

Pada Hamba, memasang pelita itu (jikalau benar adat ini diwujudkan kerana sebab diatas) ialah tidak lebih seperti meraikan ‘tetamu.’ Apa salahnya kita menghiasi rumah kita yang akan didatangi ‘tetamu’? Salah? Tak salahkan meraikan dan menghormati tetamu? Jadi apa salahnya?

Itu pun kalau betul sebab kepada wujudnya adat memasang pelita ini adalah kerana seperti diatas.

Tapi kita lihat pula sudut yang lain. Kenapa pula diadakan pada malam-malam terakhir Ramadhan? Kenapa kita tidak melihatnya pada kerangka lain? Mungkin niat orang tua dulu-dulu memasang pelita pada akhir-akhir Ramadhan ini semata-mata kerana hendak mudah untuk bangun bertahajud dan berqiamullail mencari Lailatul Qadar?

Iya lah, kalau rumah terang benderang pada waktu malamnya, bukankah lebih mudah untuk kita bangun dan menunaikan ibadat di tengah-tengah malam. Kenapa kita tak fikir macam tu? Terus pulak kita nak samakan dengan Diwali?

Atau mungkin juga dipasangnya pelita itu untuk memudahkan mereka dahulu untuk ke masjid untuk berqiam di masjid. Ye lah, zaman dahulu mana ada lampu jalan di kampong-kampung, dan pelita inilah lampu yang paling moden pada masa dahulu. Makanya, untuk meraikan Lailatul Qadar dengan pergi mengadakan qiamullail di masjid, dan untuk menerangi jalan untuk mudah ke masjid, maka dibuatnya adat memasang pelita ini.


Jadi salahkah pelita itu dipasang? Hanya semata-mata kerana menyerupai Diwali, maka dituduhnya segala bagai tanpa usul periksa.

Akhirnya, semuanya terletak pada niat individu. Pada Hamba, pasang pelita tidak lebih untuk menyambut Ramadhan terakhir ini, menyemarakkan malam-malam terakhir ini dan meraikan adat yang pada Hamba penuh simbolik. Tidak lebih daripada itu dan tidak pernah ada niat untuk mewujudkan bid’ah didalam agama.

Akhirnya, bersama kita di malam-malam akhir ini beribadat mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan. :)

Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.

Dan tahukah kami apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan,

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. - Al-Qadr -


Atintya Aryamehr.

5 comments:

  1. serius aku xtau ad org condemn psl pelita ni..haha

    ReplyDelete
  2. Haha. Mungkin encik Anon duduk di bandar, tak berkesempatan merasa berpelita. hehe :)

    tp kalau ade orang tanya, mungkin beberapa pilihan jawapan boleh En.Anon berikan pada orang tu.

    Amalkan apa yg dipanggil 'benefit of a doubt' :)

    ReplyDelete
  3. saudara aryamehr,izinkan hamba bertanya..apakah maksud malam tujuh likur dan apakah signifikannya?

    1 lagi soalan."aryamehr" itu bahasa melayu kah?

    terima kasih

    ReplyDelete
  4. Malam 7 Likur tu maknanya malam yang ke 27. Ini sebab banyak yang mengatakan Malam Lailatulqadar itu jatuhnya pada malam 27 Ramadhan berdasarkan pendapat ulama. Kesahihan tu, sila bertanya orang yang lebih alim dalam bab agama ye. Hanya btau dari sudut adat n pendapat.

    Aryamehr? Sila google. Jangan malas. Kalau soalan itu 'kenapa menggunakan Aryamehr' boleh diterima lagi, tapi kalau soalan APA itu Aryamehr, soalan yang sungguh pemalas. haha.

    Sekian.

    ReplyDelete
  5. Salam, likur bermaksud dua puluh dlm bilangan Melayu lama, jadi 7 likur bermaksud 27 (dlm situasi ini 27 Ramadhan). Dipermulaannya tarikh 27 ramadhan yg merupakan tarikh alQuran diturunkan disambut secara besar2an yg mana para alim ulama pada masa itu menyarankan agar umat islam "MENERANGI" kegelapan malam berkenaan dgn amal ibadat seperti berzikir, tahjud, tadarus, dengan tidur yg minima. Masa berganti masa, salah faham berkenaan istilah "menerangi" mlm berkenaan telah terjadi di mana ia diistilahkan dgn memasang lampu dan pelita...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...