Semalam menandakan 63 tahun lahirnya parti yang ditubuhkan dengan gabungan lebih 41 buah badan dan parti politik Melayu yang berasaskan kenegerian dengan akhirnya termaktub sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar.
Terkenang si penghikayat pada kesah perjuangan Almarhum Nenda dan perjuangannya di dalam Pekembar. Hidup dan matinya didalam Pekembar namun akhir hayatnya kecewa dengan parti yang pernah dibanggakan, yang pernah diperjuangkan, yang pernah diasaskan.
Almarhum Nenda adalah antara pengasas Pekembar di negeri Pahang, negeri kelahirannya. Berlawanan dengan adindanya yang lain, yang lebih bersifat kiri dan mendokong revolusi yang dibawa Ibrahim Yaacob dengan gerakan Melayu Raya nya, Almarhum yakin bahawa jalan terbaik untuk mencapai kemerdekaan ialah dengan cara berunding. Biar dikatakan bahawa kemerdekaan negeri ini adalah hasil dari rencana British (seperti didakwa oleh negara jiran), asalkan tidak ada seorang pun anak bangsanya gugur atas nama kemerdekaan. Melayu ialah bangsa berhemah, bangsa berdiplomatik katanya.
Semangat bila bercerita tentang perjuangannya untuk tanah dan bangsa ini. Hari Merdeka adalah hari kebesaran bagi Almarhum. Lebih besar dari ulangtahun kelahirannya sendiri. Dengan penuh bangga Almarhum menceritakan pada cucu-cucunya bagaimana dia dan rakannya berperahu menghulu ke Bandar Jerantut dan berbasikal beramai-ramai untuk bersama di Stadium Merdeka meraikan hari kebesaran hasil perjuangannya.
Masuknya ke dalam Pekembar atas semangat cintakan negara. Atas nama Bangsa dan Agamanya (Pada waktu itu, perjuangan atas nama Agama dan Bangsa tidak pernah terpisah seperti sekarang). Tidak pernah mengharapkan projek berjuta-juta, tidak pernah merayu untuk dinaikkan pangkat sebagai ketua bahagian, jauh sekali untuk dilantik menjadi wakil rakyat. Hidupnya dengan Pekembar kerana satu dan untuk satu, Perjuangan. Sehingga akhir hayatnya, tidak pernah Almarhum meminta dan mengharamkan anak cucunya menggunakan sebarang bantuan dari kerajaan kerana baginya, duit rakyat adalah untuk rakyat yang lebih bernasib malang dari kita.
Masih jelas di ingatan si penghikayat, Almarhum Nenda menangis dihadapan si penghikayat ketika menonton tentang masalah rasuah politik didalam parti yang pernah diperjuangkan, yang pernah dibelanya. Tidak pernah disangka parti yang dipertahankan seluruh jiwa raganya akhirnya menjadi duri dalam daging pada bangsanya sendiri. Pengkhianat pada bangsa dan agamanya sendiri!
Perginya Almarhum dalam sesal. Mungkin antara kekecewaannya yang dibawa sehingga ke akhirnya. Patriot dan negarawan sewaktu dengannya juga sudah menghadap Penciptanya, membawa segala amalan yang dibawa. Pekembar dahulu dan sekarang jauh berbeza. Apa bezanya? Kalian mampu menjawabnya. Tak perlu untuk si penghikayat menghikayatkan kebobrokan dan pengkhianatan yang dilakukan Pekembar pada Bangsanya, Agamanya dan Generasi Penegak Pekembar yang terdahulu.
Wahai Pewaris Pekembar! Kembalikan semula semangat dan roh Pekembar terdahulu kepada kami!
Selamat Ulangtahun Pekembar ke-65!
notakaki: Logo UMNO yang ada pada hari ini adalah hasil dari Pendeta Za'ba, antara yang bertanggungjawab kepada kewujudan Pekermbar pada hari ini. Manakala Bendera Pekembar yang dikenali sebagai Sang Saka Bangsa adalah hasil dari Prof Syed Naquib al-Attas, ilmuwan Melayu tersohor ketika beliau berusia hanya 14 tahun. Apa agaknya pandangan Pendeta Za'ba bila melihat Pekembar sekarang?
No comments:
Post a Comment