Monday, October 24, 2011

Kita juga menuju ke sana...


Dunia kecoh dengan pembongkaran terbaru berkenaan video yang menyayat hati setiap manusia yang punyai sifat insani, jiwa dan perasaan. Seorang bayi telah dibiarkan mati setelah dilenyek sebanyak dua kali dan tiada sesiapa yang peduli untuk membantu bayi itu sehinggalah seorang pemungut sampah membantu, namun tidak sempat untuk berbuat apa-apa akhirnya.

Sepanjang video tersebut, 18 orang telah dapat dilihat berulang alik memerhati bayi tersebut, namun tiada usaha untuk membantu. Dan apabila ditanya seorang dari 18 orang yang didapati dalam video tersebut kenapa tidak membantu, dijawabnya;

‘Dia bukan anak aku, kenapa perlu aku bantu?’

Dan apabila pemandu van yang melanggar budak perempuan tersebut menyerahkan diri disoal kenapa tidak membantu, maka dijawabnya;

‘Kalau dia mati, saya hanya perlu membayar dalam Yuan 20,000 sahaja, tapi kalau saya membantunya, mungkin saya terpaksa menanggung ratusan ribu Yuan sehingga dia pulih...’

Dari mana punca masalah ini? Dari mana akarnya sehingga manusia tidak lagi mampu untuk mempunyai sifat insani dan manusiawi sehingga lahir manusia-manusia seperti diatas?

Jawapannya mudah, pandangan alam (worldview) sesuatu masyarakat dan individu.

Lijia Zhang, seorang penulis apabila menulis berkenaan isu diatas, menukilkan asbab utama kelahiran satu spesis manusia yang tidak berperikemanusiaan seperti diatas: pandangan alam dan pemikiran yang disebut sebagai

SHAOGUANXIANSHI, yang bermaksud jangan masuk campur jikalau itu bukan hal kamu...

Fei Xiaotong, seorang sosiologis berbangsa Cina apabila diminta untuk memberi diskripsi berkenaan orang Cina menulis, didalam bukunya bertajuk From the Soil [1992, From the Soil: the Chinese Societies, the Regents of University of California], bahawa sifat penting diri itu merupakan kekurangan dan masalah utama bagi bangsa Cina itu. Dinukilkan,

‘When we think of selfishness, we think of the proverb, ‘Each persons should sweep the snow from his own doorstep and should not fret about the frost on his neighbour’s roof..’

Lijia Zhang, nukilkan lagi pengalaman beliau semasa dibawah pemerintahan Mao, yang mana mewajibkan setiap warganegara pada bulan Mac untuk melakukan kerja amal untuk menghapuskan apa yang dipanggil sebagai shaoguanxianshi itu. Namun, setelah kejatuhan Mao, dan pemerintah China mula membuka pintunya pada dunia, kekosongan jiwa dan pandangan alam didalam masyarakat China yang setelah hampir sepuluh tahun diindoktrinasi dengan pandangan komunis Revolusi Budaya yang mana menentang segala adat dan adab tradisi bangsa Cina dan agama-agama di China telah digantikan dengan sifat tamak haloba, sifat pentingkan diri, dan sifat lebih mengutamakan untung sendiri dari hal yang lain.

Apa yang berlaku di China tak mustahil berlaku di negara kita, tanah air kita dan pada bangsa kita sendiri. Apabila agama dibuang, segala adat dan adab Melayu yang dipegang sebagai pandangan alam bangsa Melayu diketepikan dek kerana atas nama kemajuan.Dan perkara ini sudah dapat dilihat sikit demi sedikit pada bangsa kita, pada jiran kita, dan pada diri kita sendiri, walau bagaimana cara sekalipun untuk kita nafikan.

Dan perkara ini juga tidak mustahil akan berlaku jika anak-anak kecil bangsa kita jika tidak dididik dengan pandangan alam yang sepatutnya. Segala pantun, syair dan hikayat dibuang, sedangkan itulah norma dan undang-undang tidak bertulis bangsa kita yang telah kita lupakan. Segala nasihat, segala pengalaman dan nilai moral yang ditanam pada bangsa kita hingga mampu untuk mengekalkan jati diri walaupun dijajah lebih dari 500 tahun.

Kita lupa jati diri kita sendiri. Akhirnya, wujudnya kelompongan sepertimana yang telah berlaku di Tanah Besar China yang kosong jiwanya setelah diindoktrinasi semasa Revolusi Kebudayaan Mao, dan sebaliknya berpaksikan nilai moral itu pada wang ringgit, dan kekayaan.

Samada kita mahu percaya atau tidak, mahu menafikan atau tidak, kita sedang menuju dunia seperti mana yang telah terjadi di Negara China...


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...