Sejarah dicatat dan ditulis oleh Sang Juara. Dan Sang Juara pastinya akan melantik dirinya menjadi Hakim, menghakimi setiap tindak tanduk kelakuan Si Tewas. Buruk dan baik terletak pada penghakiman dan budi bicara Sang Juara, manakala Si Tewas hanya mampu duduk di kandang pesalah diam tanpa mampu bersuara.
Itu lah sejarah. Tiada siapa yang mampu menafikan. Dan mengambil kata seorang Professor Sejarah Geoffrey Barraclough, yang sejarah itu bukanlah fakta yang sebenarnya, tapi hanyalah satu penghakiman yang telah ditetapkan. Siapa yang menetapkan? Sudah tentunya Sang Juara!
Pada mulanya penghikayat tidak mahu mengambil runsing berkenaan isu Mat Sabu dan Komunisme yang heboh serata bumi Malaysia ini dan akhir-akhir ini berkenaan penjajahan British terhadap Tanah Melayu. Menyambut Syawal lagi afdhal dari melayan kerenah politik yang tak berhabisan. Tapi nampaknya isu yang mudah sudah menjadi isu besar. Dan lebih memeritkan bila ada komen-komen yang menyakitkan dan mengundang perasaan tidak senang, baik pada bekas polis mahupun pejuang kemerdekaan.
Pertamanya, menuding jari mengatakan mana-mana pihak sebagai buta sejarah adalah tindakan keterlaluan. Sejarah tidak lebih dari satu pandangan dan tafsiran. Manakala setiap individu mahupun golongan akan mentafsirkan setiap perkara itu berdasarkan pandangan alam dan tahap kecenderungan masing-masing. Seorang budayawan akan mentafsirkan sesuatu kejadian mengikut pandangan seorang budayawan, dan lebih mengutamakan impak dan kesan pada budaya hasil dari kejadian yang terjadi. Begitu juga adanya pada tafsiran dan pandangan seorang ahli dalam ilmu sosiologi, sejarah dan seorang politikus. Semuanya berpandukan pada tahap pandangan alam, ketinggian ilmu dan kecenderungan seseorang itu.
Isu Mat Indera, samada beliau merupakan seorang pejuang atau tidak, ramai yang sudah sedia maklum akan kedudukan dan peranan beliau sebenar sebelum tragedi Bukit Kepong. Kisah Rejimen ke-10 PKM yang berpusat di Pahang juga tidak perlu untuk diulang kembali dan ramainya sudah maklum akan tujuan dan asas kewujudan Rejimen 10 PKM yang terdiri daripada pejuang kiri Melayu, yang berbangsa Melayu dan berugama Islam.
Mengambil kata penulis Haji Buyong Adil didalam bukunya Sejarah Pahang, masuknya mereka didalam PKM adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada British.
“Jika hendak memburu harimau, mestilah ada anjing pemburu yang garang..” – Haji Buyong Adil, Sejarah Pahang, halaman 433 .
Dek kerana kelengkapan persenjataan yang mencukupi, hasil ‘ehsan’ British kepada PKM, maka pejuang kemerdekaan kiri ini menjalinkan hubungan dengan PKM dengan satu matlamat yang pasti, merdeka dengan apa jua cara. Maka itu, tertubuhlah Askar Melayu ke-10 (Harry Miller, The Communist Manace in Malaya, halaman 91.) Yang pasti, mereka bukan pendokong idea Komunisme mahupun simpati pada perjuangan Komunis.
Tak perlu dipertikaikan akan semangat perjuangan kemerdekaan yang mereka miliki, dan ini termasuklah Mat Indera. Jawa Ponogoro, masyarakat Jawa yang mendiami Sri Medan yang menjadi tempat kediaman Mat Indera juga mengiktiraf akan keperwiraan dan kepahlawanan Mat Indera. (Rujukan)Namun, mengambil hujah yang diutarakan oleh Professor Emeritus Khoo Khay Kim, Sejarah perlu dibaca bukan sahaja apa telah terjadi tapi apa yang akan terjadi. Didalam mentafsirkan siapa pejuang, siapa penderhaka, makanya apa yang akan terjadi juga perlu diambil kira.
Metod dan pendekatan yang diambil oleh para perwira Rejimen ke-10 PKM yang asalnya pejuang kemerdekaan untuk bersekongkol dengan PKM juga perlu diberi perhatian. Adakah dengan bersekongkol dengan PKM mampu menubuhkan negara seperti yang diinginkan? Atau akhirnya akan wujud negara komunis seperti di China, Vietnam dan Korea Utara? Adakah dengan terhutang budi dengan pejuang kiri kemerdekaan ini akan menyebabkan PKM berkompromi dengan idealisme komunisme seperti mana tujuan dan matlamat asal perjuangan PKM? Itu yang perlu dijawab oleh sekelian kita. Untuk itu, penghikayat bersetuju dengan penulisan Dr Farish Noor didalam nota halaman Facebooknya untuk menjawab soalan berkenaan dengan Mat Indera. (rujukan: disini)
Namun, perjuangan Melayu Kiri ini tidak perlu dipertikaikan dan ditolak. Mereka sememangnya berjuang untuk kemerdekaan negara ini. Dan satu fitnah yang paling besar apabila ada diantara mereka yang cuba untuk meletakkan mereka sebagai komunis yang menanggap agama itu sebagai madat, dan menolak Islam kerana terbukti bahawa perjuangan mereka berpaksi pada Agama, Bangsa dan Negara.
Namun begitu, adalah satu penghinaan yang nyata apabila pihak yang ekstrem dan taksub pada parti pembangkang yang cuba melabelkan para anggota polis yang terkorban di Bukit Kepong tidak lain sebagai anjing British. Dan mereka cuba mengaitkan dengan polis Melayu, Mat Hassan yang membunuh Tok Janggut dengan polis di Bukit Kepong. Untuk ini, penghikayat mohon untuk berbeza.
Didalam hal ini, penghikayat mengambil pendirian yang tidak seharusnya kita melabelkan satu pihak sebagai pejuang dan secara automatiknya pihak berlawanan sebagai pembelot. Masing-masing dengan tafsiran dan cara perjuangan yang berbeza. Satu pihak merasakan perjuangan itu perlu dengan darah, dan satu pihak lagi merasakan menjaga keamanan dan kestabilan itu jauh lagi penting dari apa-apa juga. Dan pada hakikatnya, mereka merasakan bahawa perjuangan yang mereka perjuangkan itu adalah untuk kemerdekaan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Sepertimana pendirian ulama didalam perihal fitnah yang berlaku antara Muawiyah dan Saidina Ali r.a, begitulah halnya dengan mengangkat siapakah pejuang yang sebenarnya didalam hal Mat Indera dan Polis Bukit Kepong. Masing-masing punya cara dan tafsiran yang berbeza tentang makna perjuangan tersebut.
Tidak salah untuk mengetahui perkara yang sebenar, asalkan dengan beradab dan bukannya dengan maki hamun. Menuduh Mat Indera sebagai Komunis mahupun menghina Polis Bukit Kepong sebagai talibarut dan anjing British amat tidak patut, lagi-lagi sebangsa dan seagama dengan kita!
Berkenaan dengan kemerdekaan Tanah Melayu ini, merujuk pada polemik terbaru berkenaan dengan sejarah Malaysia ini.
Prof Zainal Kling mengeluarkan kenyataan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah oleh British, tetapi hanya dinaungi. Dan ramai yang mengeluarkan kenyataan membantah kenyataan Prof dengan bermacam kenyataan, termasuk la sekali lagi dengan cacian dan makian.
Dipendekkan cerita, siapa yang belajar sejarah pastinya akan bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Zainal Kling. Bahawanya Tanah Melayu ini kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura merupakan Negeri Naungan British, dan bukannya Jajahan British.
Dan pendapat penghikayat tidak ubah seperti pendirian yang telah diambil oleh Dr Farish Noor sekali lagi didalam penulisannya yang memberikan contoh Perjanjian antara Sultan Pahang I dengan British. (Rujukan: Disini)Namun, pada pemerhatian penghikayat, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Zainal Kling itu telah disalahtafsirkan dan mungkin tidak dapat diterima dek akal oleh sekelian yang tidak belajar sejarah. Kenyataan Prof bukanlah hendak menidakkan penjajahan British terhadap Tanah Melayu, tetapi sekadar menceritakan fakta yang sebenarnya, fakta yang tidak diketahui oleh ramai orang. Kenyataan Prof itu lebih menceritakan dari sudut dan konteks perundangan dan bersifat teknikal, yang tidak diketahui oleh ramai orang dan bukannya menidakkan fakta sejarah bahawa British menjajah Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Melayu dengan cara Perjanjian dan sistem Residen.
Kenyataan Prof Zainal Kling hendaklah dibaca secara luas, berbentuk akademik dan teori, serta kenyataan itu hendaklah dibaca seterusnya. Bukannya dengan memotong kenyataan tersebut dan terus mengadili Prof dan menghukum. Dan perlu kita lihat pada akhirnya, kenyataan yang mungkin tidak diambil runsing oleh sekelian mereka yang menghukum, yakni apabila Prof mengulangi;
‘ kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk penjajahan’
Jelas, kenyataan Prof Zainal Kling sebenarnya tidak ada membezakan antara beliau dan sejarawan yang lain, bahawa British memerintah Tanah Melayu ini secara de factor, disebalik batang tubuh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan tidak pernah menyatakan bahawa sepertimana yang dipahamkan oleh ramai orang.
Makanya, tindakan sesetengah yang menidakkan kecedikia Profesor Zainal Kling adalah mereka yang langsung menghukum tanpa melihat secara menyeluruh kenyataan Profesor Zainal Kling berikut. Mereka yang menghina Profesor Zainal Kling dengan bermacam jenis penghinaan hendaklah memohon maaf kepada Prof secara sendirinya. Paling mengecewakan, apabila sebuah parti politik juga melakukan kesilapan yang sama, yang secara tidak langsung menampakkan kedangkalan dan kelemahan mereka.
Sekian pendapat Hamba, dalam ‘ringkasan.’
No comments:
Post a Comment