Monday, June 06, 2011

Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong





Merafak Sembah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.
Ampun Tuanku Beribu Ampun,
Dasawarsa ini menampakkan lunturnya kepercayaan kepada pemerintahan Beraja yang pernah menjadi rukun dan tatahidup kepada kehidupan Bangsa Melayu pada suatu ketika dahulu. Melayu sudah mula tidak takut erti Derhaka, sudah mula tidak erti makna Setia. Melayu pada hari ini sudah tidak lagi mengenal rukun bangsa, ya’ni bangsa memegang Adat bersendi Syara’ sedang Syara’ bersendi Kitabullah, dan bangsa yang mana Raja menjadi pundak kepada masyarakat, memayungi sekelian hamba ra’ayat, menjadi pelindung kepada yang lemah, keras pada yang penindas serta wali kepada sekelian umat. Yang istananya tempat berteduh, yang balainya tempat berhimpun, yang kayanya tempat meminta, yang ilmunya tempat berpetua, yang alimnya tempat amanah, yang cerdiknya penyambung lidah, yang beraninya pelapis dada.
Ampun Tuanku Beribu Ampun,
Raja itu bagaikan payung penaung negeri, bagaikan teluk timbunan kapal, bagaikan tanjung pumpunan angin, bagaikan kayu besar di tengah padang, yang jauh mula nampak, yang dekat mula bersua, rimbun daunnya tempat berteduh, kuat dahannya tempat bergantung, besar batangnya tempat bersandar, kukuh akarnya tempat bersila. Pada Bagindalah tempat segala-galanya untuk bangsa Melayu.
Ampun Tuanku Beribu Ampun,
Pada Tuanku patik sekelian harapkan. Mengembalikan kepercayaan umat kepada adat dan adab bangsa Melayu yang mendaulatkan Rajanya. Yang memandang Raja itu sebagai Khalifatullah, sehingga menjadi Zilullah fi al-alam, menjadi bayangan Allah di muka bumi ini.
Sesungguhnya kemuliaan dan daulat Raja itu bukan pada keturunannya, dari Sang Hyang Tunggal hatta Sang Jaya Perkasa, melainkan pada sifat yang ada pada Baginda. Yang imannya nampak taqwanya nyata, dadanya lapang, tangan terbuka, titahnya halus, bermanis muka, hukumnya adil timbangnya sama, duduknya kukuh pada alurnya, tegak teguhnya pada patutnya, titah dijaga maruah dipelihara, daulatnya kekal sepanjang masa.
Yang tahu menegakkan keadilan pada tempatnya. Adil menimbang sama berat, adil menyukat sama penuh, adil mengukur sama panjang, adil duduk sama rendah, adil tegak sama tinggi, adil berlaba sama merasa, adil merugi sama berbagi, adil berhutang sama disandang, adil sempit sama berhimpit, adil lapang sama melenggang.
Ampun Tuanku Beribu Ampun,
Khabarkan pada sekelian zuriat jurai keturunan Tuanku akan Waadat Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana. Peringatkan bahawa hamba Melayu itu tidak pernah menderhaka pada Tuannya namun jika diberi aib dan nista pada sekelian hamba Tuan, maka diterbalikkan bumbungnya tiada tergantung, dan difadhihatkan dengan kata-kata nista.
Ampun Tuanku Beribu Ampun,

Patik dengan ini merafakkan sembah penuh taat setia, bertekah memelihara kemuliaan pemerintahan Beraja, memperkukuhkan tradisi negeri bersultan rakyat rakyat beraja, tradisi diwarisi turun temurun, agar subur dan segar kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu merentas peralihan masa.

Semoga Tuan Patik dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan Allah Azzawajalla, hidup penuh kebahagian dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, kekal karar di atas takhta kerajaan sebagai Amir al-Mukiminin dengan penuh keberkatan dunia wal akhirah.
Daulat Tuanku Tuan Patik!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...