Wednesday, July 06, 2011

Wordless Wednesday #2

Wordless Wednesday

Aku taktau sangat signifikan Wordless Wednesday ni.Yang aku tau ada segelintir penulis blog meletakkan polisi tiada post bertulis pada hari Rabu,yang ada cuma gambar since 'a picture says thousands words'.

Tak kisah la apa pun.Sejujurnya,aku malas.Maka polisi ini akan diguna pakai,dan kebarangkalian aplikasi polisi ini pada hari-hari lain selain hari Rabu juga agak tinggi.


Tuesday, July 05, 2011

RINGKASAN 2: KEBEBASAN






AMARAN: HANYA UNTUK MEREKA YANG MAHU BERFIKIR.


1. Kebebasan ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang tiada paksaan. Kebebasan boleh dilihat dari segi sejauh mana seseorang itu mampu untuk melaksanakan kehendak mereka berdasarkan keputusan sendiri, tanpa sebarang pengaruh luar yang memberi kesan kepada kehendak tersebut.

2. Aristotle merupakan antara filsuf terawal yang membicarakan tentang konsep kebebasan, yang akhirnya dibincangkan dan diperdebatkan oleh para pewaris filsuf selepasnya. Manakala konsep yang diasaskannya pula lebih berbentuk siasah/politikal yang mana timbullah akhirnya apa yang disifatkan olehnya sebagai kebebasan semulajadi ataupun semulajadinya bersifat hamba. Akhirnya, hasil dari konsep tersebut diatas, muncullah apa yang ditulis oleh Isaiah Berlin,’ Ini adalah kebebasan, sebagaimana yang difahami oleh kaum liberal di dunia moden sejak dari Erasmus sehinggalah hari ini.’

3. Masalah utama didalam membicarakan konsep kebebasan ini ialah tahap hadnya. Persoalan pokok yang perlu dijawab ialah, pada titik manakah kebebasan seseorang bertembung dengan kebebasan orang lain? Disinilah terletaknya Kontrak Sosial yang sebenar, yang dilaung-laungkan di negara kita dan kononnya menjadi batu asas kepada penubuhan negara bangsa Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

4. Membicarakan tentang Kontrak Sosial, tidak dapat tidak nama Friedrich von Hayek akan terpacul dan tergambar di fikiran yang mana bertanggungjawab memperkenalkan Perlembagaan Kebebasan. Menurut beliau, Perlembagaan Kebebasan adalah perjanjian asas didalam masyarakat manusia yang mendefinisikan batas-batas kebebasan. Kekerasan (undang-undang) pula hendaklah diletakkan di tahap yang seminimum mungkin dan boleh diterima (akal) yang bertujuan sebagai suatu bentuk pengekangan kebebasan tersebut.

5. Pun begitu, kebebasan mutlak adalah anarki. Konsep anarki akan wujud didalam setiap konsep kebebasan yang diperjuangkan. Justeru itu, untuk mewujudkan dan membumikan maksud kebebasan yang sebenar, perlunya kebebasan itu diperlembagakan. Dan antara cara kebebasan itu diperlembagakan ialah dengan kewujudan kerajaan sivil.

6. John Locke berkata: Kerajaan sivil perlu untuk mewujudkan kebebasan. Tiada kebebasan yang nyata tanpanya.

7. Persoalan timbul: Berapa banyak kebebasan harus diberikan antara individu dan kerajaan dan bagaimana ia harus diuruskan? Seberapa banyak pula kekerasan dapat dihalalkan?


Aryamehr. Maulimalaraja.

Monday, July 04, 2011

Video-Bersih 2.0

Video yang agak awesome.



Ni pulak video yang pernah kasi aku gelak sampai batuk-batuk.Kalau tak pernah tengok video ni memang betol kera sumbang la.

RINGKASAN


1. Malaysia menyaksikan beberapa demonstrasi jalanan telah diadakan sejak zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi.
2. Tidak pernah ada sebarang titah yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara bagi Malaysia berkaitan demonstrasi yang lepas. Ini sekaligus sesuai dengan posisi Baginda sebagai Ketua Negara dan berpaksikan kepada konsep Raja Berperlembagaan, yang mana Baginda adalah berkecuali dan ‘atas’ dari segala pengaruh politik dan bertindak sebagai lambang penyatuan kepada seluruh rakyat Malaysia.
3. Namun semalam Istana Negara telah pun mengeluarkan titah khas dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang menasihatkan agar semua pihak yang mahu mengadakan demonstrasi untuk membatalkan hasrat masing-masing atas nama keamanan.
4. Si penghikayat yakin bahawa titah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong semalam merupakan keresahan dan kegusaran dari batang tubuh Paduka Baginda sendiri tanpa sebarang ‘pencerobohan’ dari mana-mana pihak. Sudah tiba masanya semua untuk bertenang dan berfikir sedalam-dalamnya titah dari Baginda Duli Yang Dipertuan.
5. Si penghikayat merupakan antara yang pernah bersama-sama turun di jalanan untuk demonstrasi tak beberapa lama dulu. Dan terus memegang kepada prinsip bahawa SEMUA RAKYAT MALAYSIA BERHAK UNTUK MENUNTUT HAK SEPERTIMANA YANG TELAH DIJAMIN FASAL 10 (1) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA. Demonstrasi adalah PERLU apabila ia merupakan JALAN YANG TERAKHIR untuk menuntut sesuatu yang telah dinafikan haknya oleh pihak-pihak yang tertentu.
6. Namun begitu, hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipegang dan dipertahankan dalam kerangka yang lebih besar, iaitu selagi mana ia tidak membawa kerosakan dan darurat kepada negara. Ini juga turut bersesuaian dengan tafsiran Fasal 10 (2)(a) yang pada pendapat si penghikayat, telah dilupakan atau dipadamkan oleh mereka yang mahu mengadakan demonstrasi BERSIH 2.0 ini.
7. Pada hemat, adalah tidak bijak dan kurang molek untuk penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan demonstrasi seperti yang dirancang.
8. Ini kerana berbanding dengan demonstrasi yang lepas, BERSIH 2.0 ini menampakkan kemudaratan yang amat dahsyat jika terus dilaksanakan. Amaran demi amaran serta ugutan yang boleh ditafsirkan sebagai ugutan yang berbahaya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang mahu menunjukkan jaguh. Jika setiap amaran dan ugutan ini diambil dan direnung dengan sedalam-dalamnya, ternyata kemudaratan yang amat dahsyat akan terjadi.
9. Berundur tidak bermakna lemah, tetapi satu cara menysun langkah yang lebih mantap dari akar umbi. Pembatalan demonstrasi kali ini mampu memberi isyarat kepada rakyat bahawa perjuangan BERSIH 2.0 sememangnya untuk rakyat, dan bukannya untuk kepentingan individu atau parti politik.
10. Demonstrasi tidak bermakna rakyat akan faham akan tujuan BERSIH 2.0. Fahamkan rakyat akan hak mereka dan tuntutan BERSIH 2.0 itu lebih bernas dari berdemonstrasi dan berkonfrantasi dengan mereka yang jahil dan buta hati.
11. Dan kedegilan oleh pihak penganjur BERSIH 2.0 untuk meneruskan demonstrasi pasti akan digunakan sepenuhnya oleh pihak seberang untuk menggunakan sentimen yang pasti mengguris hati setiap anak Melayu dan terus membiarkan anak Melayu untuk terus buta hati dan perasaan, yakni MENDERHAKA KEPADA SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG.
12. Percayalah, tindakan yang diatas hanya menjauhkan lagi rakyat kepada matlamat murni BERSIH 2.0. Usah asyik menyalahkan kerajaan yang sememangnya kita semua ambil maklum akan kebobrokan dan kebejatan didalamnya. Gunakan segala jalan yang ada sebaik dan sehalusnya. Gunakan kebobrokan dan kerosakan itu sebagai kekuatan kepada kita, dan bukannya najis kepada matlamat perjuangan. Tarik benang didalam tepung, benang jangan putus, tepung jangan pula berselerak.
13. Kerajaan pula seharusnya menginsafi dengan titah Paduka Tuanku apabila Baginda menyeru pihak kerajaan untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bijaksana.
14. Akhirnya, si penghikayat amat tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai pelindung dan payung mahkota bumi Malaysia ini. Konteks titah Baginda haruslah dibaca sebagai seorang ‘Ayah’ kepada anak-anaknya tanpa merujuk kepada mana-mana. Terpulang pada si anak dan si pentafsir untuk mentafsirkan nasihat dari ‘Ayah’ samada merujuk kepada anak yang mana.
15. Sekian. Ringkasan pendapat hamba. Mohon untuk berbeza
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...