Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Monday, May 20, 2013

Melayu & Perkauman




Melayu sifatnya memang lemah lembut. Menjaga hati saudaranya tiada terbanding. Sebab itu adanya peribahasa anak kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Tiada adab untuk seorang itu tidak menghidangkan makanan atau minum untuk tetamu yang hadir ke rumah seorang Melayu. Biar kita berlaparan, asalkan tetamu cukup makan, cukup minum, asalkan bila tetamu keluar dari rumah, tiada cerita ‘busuk’ keluar dengan tetamu tersebut. Itulah Melayu.

Baiknya tiada terbanding.

Sebab itu Islam mudah meresap dalam jiwa setiap anak Melayu khususnya Islam yang dibawa ahli Sufi. Tidak banyak bezanya akhlak Melayu dengan akhlak yang dibawa Islam. Dan Islam melengkapkan jiwa ruhani Melayu itu yang akhirnya menjadi Melayu yang Adatnya itu berpaksikan Syara, dan Syara’ pula bersendi Kitabullah.

Adat bersendi syara’, syara’ bersendi Kitabullah,
Adat ialah syara’ semata,
Adat semata Quran & Sunnah,
Adat sebenar adat ialah Kitabullah dan Sunnah Nabi,
Syara mengata, adat memakai,
Ya kata syara’, benar kata adat,
Adat tumbuh dari syara’, syara’ tumbuh dari Kitabullah,
Berdiri adat kerana syara’

Atas sebab itu, pantang seorang anak Melayu dipanggil ‘tidak tahu adat’, atau ‘tak beradab.’ Kerana pertalian dan persebatian antara syara’ dan adat Melayu itu terlalu erat.  Sebab itu wujudnya biar mati anak, jangan mati adat, kerana adat itu syara’, adat itu undang-undang tidak bertulis seorang Melayu.

Tapi lembut Melayu selalu ditafsir sebagai kelemahan. Sebab itu, Melayu ada peribahasa kalau baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Sebab orang tua-tua dahulu tahu, berdasarkan pengalaman dengan pe-tua mereka, yang seringkali kebaikan disalahguna, kebaikan Melayu ditafsirkan kelemahan.

Hinggakan takut untuk mempertahankan apa yang telah diberikan kepada mereka. Takut digelar perkauman, takut dijolokkan sebagai penyebar faham asabiah. Kerana Melayu itu lemah lembut, mahu menjaga perasaan orang lain, tanpa memikirkan kepentingan sendiri.

Suka Hamba mengambil pendapat dari Mahaguru Muammar Khalif, Asabiah sepatutnya bukan ditafsir sebagai perkauman, tapi sebagai perpaduan. Perpaduan didalam satu kelompok kearah kebaikan. Atas sebab itu, Ibn Khaldun mengatakan bahawa suatu kepimpinan tidak akan tercapai tanpa kemenangan dan kemenangan hanya tercapai dengan asabiyyah. Ibn Khaldun menyimpulkan bahawa dakwah Islam tidak akan tercapai tanpa asabiyyah. Dan Rasulullah sendiri ‘mengiktiraf kepentingan asabiyyah’ dengan hadith nya yang mengatakan bahawa bukanlah asabiyyah jikalau sayangkan pada satu-satu bangsa itu dan asabiyyah yang dicela ialah apabila membantu kaumnya itu melakukan kezaliman.

Adakah Melayu pernah melakukan kezaliman? Sedang bangsa Rohingnya dibunuh saban hari, atas dasar bahawa bangsa Rohingnya bukanlah warga asal Burma, dan tidak dianggap sebagai warga Burma, Melayu dengan lapang dadanya menerima bangsa lain sebagai saudara dalam Tanah dan Air miliknya. Melayu hanya meletakkan satu syarat, iaitu setia kepada Negeri, Tanah dan Air ini dan tidak lebih dari itu.

Apakah Melayu pernah melakukan kezaliman? Sedang Sekolah Jenis Tamil dan Cina dibenarkan untuk ditubuhkan malahan diberi bantuan lagi sehingga wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan. Tuan carilah dimana pun dunia ini, tidak ada layanan sebaik ini diberikan kepada kumpulan minoriti di bumi ini selain layanan seorang Melayu kepada saudaranya.

Apakah Melayu pernah melakukan kezaliman? Sedang tidak ada satu harta pun dirampas atas alasan kaum dan tidak memihak kepada Melayu. Pernahkah Melayu mengadakan Revolusi Sosial sepertimana yang berlaku di China ataupun Revolusi Sosial di Sumatera, yang mana keluarga bangsawan dan keturunan diraja Melayu dibunuh, dan dihukum tanpa mengira siapa. Apakah Melayu pernah memandang bangsa lain hina dan lebih rendah pada diri Melayu itu, seperti mana yang berlaku di Afrika Selatan?

Apakah hanya membangkitkan hak seperti mana yang telah dipersetujui sejak 1957 itu terus dianggap sebagai seorang perkauman dan asabiyyah? Jangan kita malu untuk mempertahankan hak kita. Jangan kita ragu untuk mengatakan apa yang sememangnya termaktub sebagai hak kita. Jangan kera dihutan kita susukan, akhirnya bukan sahaja anak, tapi kita sendiri yang mati kelaparan.

Ramai anak Melayu mula terpengaruh dengan faham kesaksamaan, yakni saudara senegara yang lain harus juga diberikan hak yang sama rata, kerana alasannya Islam menjamin kesamarataan. Sedangkan konsep ‘equality’ itu hanya muncul setelah timbulnya Zaman Pencerahan dan Revolusi di Perancis. Yakni egalite dan egalitarianism.

Ya, Islam memang menyeru kepada kesamarataan (Musawat), namun hanya dalam ruang lingkup seperti yang diterangkan oleh Mahaguru Hashim Kamali iaitu (i) Kesamarataan layanan dihadapan undang-undang, (ii) Kesamarataan layanan dihadapan Mahkamah Keadilan, (iii) Kesamarataan didalam perkara-perkara pentadbiran Negara seperti cukai, khidmat Negara dan sebagainya.

Dan Adil yang dimaksudkan ialah mengiktiraf perbezaan dan menyantuni perbezaan itu dengan memberikan apa yang sepatutnya. Kerana adil menurut Islam itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dan Aristotle dalam Nicomachean Ethics, bila membahaskan tentang makna keadilan, menjelaskan bahawa keadilan itu ‘to treat equals equally and unequals unequally.’

Maka seorang pemimpin yang adil ialah memberikan apa yg sepatutnya diberikan kepada golongan yang memerlukan, dan bukannya hanya memberikan layanan yang sama rata kepada semua. Melayu memerlukan hak itu untuk menjamin kelangsungan bangsanya, yang selama hampir 500 dijajah. Malah, kesejahteraan bangsa Melayu itu, pada hakikatnya bukan sahaja dinikmati oleh Melayu, bahkan bangsa lain jua. Kajilah Tuan-Tuan sekelian.

NAMUN BEGITU, anak Melayu jangan merasa dirinya bertuah. Melayu harus merasa malu kerana walaupun kita tuan di negeri sendiri, tapi tuan hanya dalam buangan. Kenapa perlu kita bergantung pada payung dan perlindungan, sedangkan ini negeri kita? Kembalilah kepada Melayu yang asali, yang mana Melayu pernah mencipta ketamadunan yang bukan calang-calang hebatnya. Peganglah kata Mahaguru Siddiq Fadzil, Melayu perlu kembali kepada watak dan semangat bahari (kelautan), yang mana sejarah silam Melayu sebagai bangsa pelaut, yang kuat, berdaya tahan, dan berdaya juang, yang tiada pilihan, selain menghadapi dan menakluki gelombang dan taufan dengan sepenuh keberanian dan kekuatan.

Melayu tidak ada cara lain, hanya dengan berubah. Pakailah PAKAIAN YANG DUA PULUH LIMA yang menjadi azimat, pendinding seorang Melayu Islam yang berjaya. (Jika dizinkan Allah Rabbul Jalil akan Hamba huraikan nanti) yakni seorang Melayu itu:

1) Sifat tahu asal mula jadi, tahu berpegang pada yang Satu.
2) Sifat tahu membalas budi
3) Sifat tahu bertenggangan, mati berpegangan
4) Sifat tahu akan bodoh diri
5) Sifat tahu diri
6) Sifat hidup memegang amanah
7) Sifat benang orang
8) Sifat tahan menentang matahari
9) Sifat tahu menyemak, pandai menyimpai
10) Sifat menang dalam kalah
11) Sifat tahan berkering, mahu berbasah
12) Sifat tahu tunjuk dengan beri, tahu hidup bertenggangan
13) Sifat timbang dengan sukat
14) Sifat tahu akan malu
15) Sifat berpada-pada
16) Sifat ingat dengan minat
17) Sifat hemat dan cermat
18) Sifat tahu harta berpunya, tahu pinjam memulangkan
19) Sifat tahu hidup meninggalkan, mati mewariskan
20) Sifat lasak mengekas, tekun mengais
21) Sifat mengulut air setimba
22) Sifat merendah menjunjung tuah
23) Sifat lapang terbuka tangan
24) Sifat berbaik sangka
25) Sifat yang pucuk.

Hamba tidak mahu menutup dengan perkataan lain lagi, cukuplah Almarhum Tongkat Warrant bersuara untuk kalian semua.

Wassalam.

Bagaimakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan,

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran,

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan,

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi Tuan di bumi Merdeka

Rujukan

1. Freedom, Equality and Justice in Islam, Prof Hashim Kamali
2. Tunjuk Ajar Melayu, Tenas Effendy
3. Melayu & Islam, Prof. Siddiq Fadzil
4.Ketuanan Islam & Ketuanan Rakyat dari Perspektif Islam, Prof Madya Khalif Muammar A. Harris. CASIS, HAKIM




Tuesday, August 09, 2011

Ada Apa Dengan Bangsa?


Lelaki Melayu Ceylon (Sri Lanka) pada akhir kurun ke-19
Sejak menulis kembali, terdapat beberapa maklumbalas yang diterima oleh si penghikayat. Ada yang menyokong, dan ada juga yang memandang sinis.

Ada apa dengan Bangsa? Ada apa dengan Melayu?

Kenapa kita sibuk nak memperjuangkan Melayu sedangkan Islam itu lebih besar, lebih gah, lebih perlu untuk diperjuangkan. Memperjuangkan Melayu itu memperjuangkan perkauman, asabiah, memperjuangkan sesuatu yang sia-sia.

Ini soalan yang selalu ditanyakan kepada Hamba. Soalan yang pasti dan tidak lari dari mulut mereka yang mempersoalkan Hamba.

Terkenang pada nasihat yang sering diberikan oleh Almarhum Nenda tercinta;

“Hendak Tahu Siapa Dirimu, Carilah Agama-mu, Hendak Kenal Siapa Dirimu, Carilah Bangsa-mu.”

Tahu disitu bermakna mengetahui apakah tujuan kita diturunkan di muka bumi ini. Apakah tugas dan tanggungjawab di muka bumi Allah Taala ini. Dan telah diterangkan didalam Quran:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'" (Al-Baqarah: 30)

"Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Adz-Dzaariyaat: 56)

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Al-Mukminun: 115-116)

Jelas lagi bersuluh akan tujuan dan matlamat hidup seseorang manusia itu. Tidak lain untuk menjadi hamba kepada-Nya dan menyembah Tuhan Rabbul Alamin. Tidak perlu untuk Hamba bercerita lebih untuk itu.

Kenal siapa dirimu dengan mencari bangsamu.

Sedang sifat seseorang manusia itu hidup didalam masyarakat dan kaum. Tidak ada manusia yang mampu hidup sendirian tanpa bantuan dan sokongan dari manusia yang lain. Ibnu Khaldun menegaskan bahawa sedangkan para Nabi Allah a.s sendiri yang mana semulia-mulia manusia yang diutuskan dengan segala macam kelebihan dan mukjizat memerlukan sokongan dan penjagaan keluarga dan kaum, inikan pula seorang manusia biasa yang serba kelemahan dan kedaifan. [al-Muqaddimah, Ibnu Khaldun]. Ibnu Khaldun juga turut memetik hadis sahih untuk menguatkan lagi hipotesis yang diberikan:

‘Allah tidak mengutuskan seseorang Nabi pun kecuali ia berada didalam penjagaan kaumnya.’

Dan lumrah setiap manusia itu, keadaan sekeliling mampu mempengaruhi kehidupannya. Jelas dibuktikan sepertimana didalam Hadis Nabi berbunyi;

‘Setiap manusia itu dilahirkan fitrah, ibu bapanya yang menentukan ia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi...’

Dilihat dari sudut yang lain, maka jelas seseorang itu terbentuk hasil dari keadaan sekeliling. Hebat seseorang itu, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh bagaimana dia dibesarkan, bagaimana pandangan alam masyarakat disekellilinginya didalam melihat dunia dan bagaimana masyarakat itu berupaya memberi anjakan positif didalam pemikirannya. Begitu juga lemah bangsa itu, maka lahirlah manusia yang lemah dari pemikiran, lemah dari daya tahan didalam menempuh cabaran hidup.

Disinilah terletaknya hendak mengenal diri itu, carilah bangsa atau masyarakat sekeliling itu.

Kenapa kalian perlu mengenal bangsa kalian? Kenapa kalian perlu mengenal leluhur dan sejarah bangsa kalian? Kenapa Hamba bersusah payah untuk mengorek kembali sejarah bangsa kita yang tertimbus, kenapa Hamba bersusah payah untuk menghabiskan masa dan wang semata-mata untuk mengkaji sejarah bangsa walaupun itu bukanlah pengkhususan Hamba?

Jawapannya mudah, kerana untuk mencari kekuatan diri!

Izinkan Hamba untuk memberi analogi dan perumpamaan yang boleh diberikan. Katakan bahawa ANDA adalah berketurunan dari Nabi Muhammad S.A.W dan digelar Ahlil Bayt. Dari keturunan semulia-mulia keturunan diatas muka bumi ini. Apakah yang bermain didalam benak pemikiran ANDA? Adakah ia tidak akan membawa sebarang makna, dan sekadar SEJARAH keluarga yang tidak akan memberi kesan pada kehidupan ANDA?

Atau adakah akan timbul sedikit rasa bangga, rasa teruja, rasa bertanggungjawab diatas kebesaran nama keluarga anda tersebut? Rasa bertanggungjawaban untuk mempertahankan dan menjaga nama baik keluarga dari diburukkan atau dipandang hina oleh masyarakat? Rasa bertanggungjawab untuk menaikkan kembali nama Ahlul Bayt seperti mana yang sepatutnya?

Ya, setiap manusia biasa pasti akan merasa kesan, paling tidak minda separa sedar (subconscious mind) kalian untuk menjaga, mempertahan, dan menjulang nama keluarga Bani Hashim sepertimana yang sepatutnya.

Itulah yang kita inginkan. Melayu yang mengenal akan kehebatan mereka yang terpendam. Melayu yang merdeka.
Malangnya, kalian dimomokkan bahawa Melayu itu Malas, Melayu itu Lemah, Melayu itu Kurang didalam serba-serbi. Kalian dimomokkan bahawa Melayu tidak mampu bersaing dengan bangsa lain, Melayu itu Pendatang, Melayu itu memerlukan Bantuan kerajaan untuk berjaya.

Maka lahirlah Melayu yang hanya mengharapkan bantuan, masih memerlukan tongkat saat bangsa lain sudah mampu berdiri bahkan memecut laju dengan sendiri. Melayu yang punya MASA-nya sendiri (lewat setengah jam), dan sebagainya. Melayu yang dijajah oleh pemikiran yang ditanam oleh para penjajah. Hingga, bukan lagi suatu keganjilan apabila ada Melayu sudah mula malu mengaku Melayu, dan pada satu tahap, sedar atau tidak bukan sahaja menjauhkan diri dengan Melayu bahkan Islam! Dan pada mereka yang kononnya mahu bersifat Islamik dan lebih aalim, meninggalkan ke-Melayuan dan mendekati ke-Araban, sedang mereka didalam keadaan tidak sedar menafikan sepertimana yang telah difirmankan oleh-Nya:

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (Al-Hujurat 49 :13)

Hai Anak Melayu sekelian!

Kalian merupakan dari bangsa yang besar, bangsa yang hebat. Tidak mengetahui tidak bermakna Melayu itu lemah, Melayu itu mundur. Kaji dan selami sejarah leluhur kalian, dan pasti akan ditemui kekuatan yang tiada tara bandingan. Melayu bukan lemah, bahkan Melayu itu bangsa penjajah, menjelajah dunia jauh lebih awal dari mana-mana bangsa di dunia ini. Melayu itu bangsa hebat, mencipta ilmu jauh lebih awal dari mana-mana bangsa di dunia ini. Melayu itu tidak malas, melainkan bangsa yang bermaruah dan tidak mahu tunduk kepada penjajah dengan menjadi abdi kepada mereka. [Mitos Pribumi Malas, Syed Hussein al-Attas].Cari, kaji, selami, dalami dan anda pasti akan temuinya.

Tetapi kenapa tidak kita perjuangkan Islam, sedangkan Islam itu lebih hebat, lebih mulia disisi Tuhan?

Ya, Islam menjadi keutamaan. Tidak ada jawapan lain selain bahawa Islam itu jauh lebih penting untuk didahulukan dari apa juga perkara. Tidak pernah ada keraguan disitu.

Namun, dilihat pula pada bangsa besar lain di dunia ini. Cina, India, Jepun, Korea, Eropah dan sebagainya, adakah mereka beragama Islam? Sudah tentu tidak. Tetapi apakah yang menjadi penyebab kepada kebangkitan mereka ini? Tidak lain dan tidak bukan SEJARAH dan BANGSA.

Kenapa bangsa Cina hebat didalam perniagaan walaupun tidak ada sebarang ijazah didalam perniagaan? Kerana faktor sejarah dan bangsa. Kerana mereka dididik akan sejarah ketamadunan bangsa Cina dan dididik untuk berniaga sejak dari kecil lagi. Banyak lagi bukti untuk membuktikan bahawa Sejarah dan Ketamadunan itu menjadi asas kepada kebangkitan sesuatu bangsa.

Kita diberi nikmat oleh Allah dengan kemuliaan Islam dan kekuatan bangsa Melayu itu. Melayu pernah mencapai kemajuan material dan kebendaaan pada zaman Kedatuan Sriwijaya dan mencapai kemajuan pemikiran setelah kedatangan Islam.[Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Prof. Syed Naquib al-Attas]. Sudah tiba masanya untuk kita, anak Melayu ini untuk menggabungkan kehebatan Sriwijaya dengan kekuatan akidah Islamiyyah dan kembali muncul sebagai Melayu yang baru.

Buat mereka yang bertanya, harap penulisan ini mampu menjawab persoalan. :)

Thursday, August 04, 2011

The Pride of a Malay Race


The Great Malay, The Pride of Malay Race. Melayu Agung, Kebanggaan Bangsa Melayu
Dua gelaran yang begitu besar maknanya. Pengiktirafan yang sungguh tinggi diletakkan atas bahu seseorang yang diberi gelaran tersebut. Apakah sumbangan pada Bangsa Melayu oleh manusia hebat ini sehingga diberi gelaran dan sanjungan yang sebegitu tinggi ini?
Soalan paling utama, siapakah dia Melayu Agung ini dan menjadi kebanggaan buat semua umat Melayu? Tun Tuah Laksamana Melayu Agung? Atau Sultan Alauddin Riayat Shah al-Adil?
Siapa dia?
Dialah Jose Rizal. Melayu yang diangkat sebagai Melayu Agung dan Kebanggaan buat semua umat Melayu.

Soalan yang mungkin didalam benak tuan sekelian, siapakah Jose Rizal ini? Dan Melayukah Jose Rizal ini? Apa sumbangan sehingga mampu melintasi Sultan Alauddin Riayat Shah al-Adil? Peperangan manakah yang beliau telah kepalai sehingga layak mengatasi Laksamana Tun Tuah?
Persoalan paling utama, adakah orang Filipina yang hampir semuanya berugama Roman Katolik, berbahasa Tagalog sebagai bahasa rasminya, dan berbudaya yang diserapi dengan pengaruh Sepanyol [khususnya dari segi pemakaian dan tatacara kehidupan] boleh dianggap Melayu?
Sepertimana artikel sebelum ini, si penghikayat cuba untuk meneliti permasalahan berkenaan identiti Melayu itu. Siapa itu Melayu. Maka dirungkaikan Melayu itu mengikut kerangka yang telah dipersusun didalam Perlembagaan Malaysia, namun masalah timbul tentang konsep dan ma’na Melayu sendiri. Tidak juga dijumpai Melayu itu.
Namun Melayu itu wujud. Bukanlah bangsa yang baru digagaskan sepertimana dituduh sekelian manusia yang hasad akan Melayu, tak kurang juga me-LAYU yang tertutup mata hatinya.

Mat, dari ratu, LAMI LAMI BANGSA MALAYU...[Prasasti Matari Singa Jaya Himat, diterjemahkan oleh
Koninklijk Koloniaal Instituut Amsterdam, Mededeelingen XXIX, Afdeeling Volkenkunde, no. 4, Aaneinsten 1931-3, bertarikh antara kurun 13-15 masihi, sezaman dengan Majapahit, bertulisan Rencong]
Hatta prasasti dan tulisan terawal yang ditemui di Filipina itu sendiri merupakan yang ditulis didalam Bahasa Melayu Tua, dicampur dengan Jawa, Tagalog dan Bahasa Sanskrit.
Laguna Copperplate. Bertarikh 900 Masihi, menggunakan tulisan Kawi.

Mari kita cari Melayu di Filipina.
Kurun ke-19, semangat nasionalisme mula berlegar-legar di Kepulauan Filipina. Setelah Pemberontakan Cavite 1872, dan hukuman gantung 3 orang paderi Gomburza, Filipina mula ditiup dengan nasionalisme. Rakyat kolonial Sepanyol ini mula bangkit akibat perkauman yang begitu ketara antara rakyat Sepanyol lahir di Filipina dan Indios. Tenaga Indios dipergunakan sehabisnya untuk mengaut keuntungan. Walhasil, Rakyat Filipina didokong oleh para ilmuwan dan aristokrat tempatan mula memberontak.


Namun, masalah timbul setelah hampir 300 tahun dijajah, krisis identiti mula timbul. Sedangkan untuk menimbulkan semangat nasionalisme itu memerlukan semangat kebangsaan dan asabiah. [al-Muqaddimah, Ibn Khaldun]. Siapa itu bangsa Filipina? Apakah dengan nama Filipina itu mampu menyatukan semua suku-suku asli Filipina dari Mindanao hinggalah ke Manila?
Dicarinya apa yang boleh menyatukan Filipina itu untuk kemerdekaan. Dibongkarkan segala sejarah silam sebelum Kepulauan Filipina itu dijajah oleh puak Sepanyol.

Maka timbullah akan semangat MELAYU. Bersatu dibawah satu nama, satu warisan yang dikongsi bersama sebelum si penjarah dari Sepanyol Magellan dibantu dan dibimbing oleh Enrique the Black yang merupakan bangsa Melayu dari Melaka menjejakkan kaki ke bumi Filipina. Berkongsikan warisan yang telah dilupakan sejak penaklukan oleh puak Sepanyol. Bermulalah dan timbullah semangat Pan-Malayan, atau Melayu-Raya di bumi Filipina ini. Bahkan, pemula dan pencetus semangat nasionalisme di Asia Tenggara ini.
Jose Rizal, sebagai antara pendiri kepada semangat nasionalisme Filipina, mula mengerakkan pergerakan yang berasaskan Melayu. Dihimpunkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di Paris. Revolusi yang diidamkan itu adalah bermatlamat untuk pembebasan seluruh umat Melayu dari penjajahan dari 3 buah kuasa besar, British, Belanda dan Sepanyol. Revolusi yang diidamkan itu juga hendaklah tamadun yang berpaksikan Melayu, berkongsi budaya yang beridentiti Melayu. [The Filipino Dream of a reunion with a Malay World, Alonto, Jurnal Alam Melayu, 2003]

Atas semangat yang ditiupkan oleh Jose Rizal (yang mana Melayu pertama yang meniupkan semangat nasionalisme dan perpaduan berasaskan keMelayuan), maka semangat Pan-Malayan atau Melayu Raya itu turut menaikkan semangat kepada yang lain, hingga tertubuhlah Perhimpoenan Orang Melayoe dengan moto Malaya Irrendenta oleh Wenceslao Quinto Vinzons. Lebih maju dari pergerakan yang digerakkan oleh Jose Rizal, Perhimpunan ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu, dan menggunakannya didalam ritual-ritual rahsia Perhimpunan. Kajian tentang Melayu juga giat dilaksanakan untuk mencari persamaan, dan mencari kekuatan didalam semangat nasionalisme yang diperjuangkan itu.

Nama MALAYSIA mula diidam-idamkan sebagai nama untuk menggantikan Filipina yang mana merupakan nama dari seorang Raja Sepanyol, Raja Phillip II. Malah satu draf Senat telah pun dibincangkan untuk menukar nama Filipina kepada Malaysia pada 1962. Namun akhirnya terbantut apabila Tunku Abdul Rahman memilih nama Malaysia sebagai nama bagi sebuah negara baru yang melihat gabungan antara Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan British Borneo. [Tambahan:Tunku pada mulanya mahu meletakkan nama negara baru ini sebagai MELAYU RAYA tetapi ditolak oleh bukan Melayu (Singapura) dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.]

Semangat kemelayuan Filipina tidak pernah padam. Sungguhpun gagasan idea yang dibawa Jose Rizal untuk membentuk satu negara Melayu gagal, namun semangat untuk bergabung dan bersatu dibawah nama Melayu tidak pernah padam. Maka digagaskan pula oleh President Macapagal yang juga ahli didalam Perhimpoenan akan Maphilindo, persatuan dan gagasan untuk ‘Negara-Negara yang berasal Melayu’ dan ‘diikat oleh Bangsa dan Budaya.’ [The Malays, Anthony Millner]. Namun, idea Maphilindo terbantut apabila Konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia terjadi walaupun akhirnya gagasan itu menjadi kenyataan dengan ASEAN walaupun tidak lagi terikat oleh Budaya dan Bangsa Melayu.

Orang Filipina sentiasa menganggap diri sebagai sebahagian dari Melayu. Perjuangan nasionalisme Filipina dimulakan dengan semangat dan roh Melayu, dan usaha tersebut terus dilaungkan sehinggalah penubuhan Maphilindo dan akhirnya ASEAN.

Persoalannya, adakah kita mampu untuk menerima mereka sebagai Melayu? Adakah kita sanggup untuk menerima Melayu yang bukan berugama Islam, sebagai Melayu? Adakah kita sanggup untuk menerima Filipina sebagai Kepulauan Melayu?
Sekadar membuka minda semua tentang definisi Melayu yang lebih besar dan selingan sebelum bergerak ke isu yang lebih besar

Atintya Aryamehr
Seterusnya: Melayu Mahawangsa.
Nota Tambahan: Gerakan pengislamisasian di Filipina dikenali dengan nama 'Balik Islam.' Balik Islam kerana Filipina dahulunya berugama Islam tetapi kedatangan Sepanyol dengan semangat Perang Salib telah memaksa penduduk di Kepulauan Filipina untuk menukar agama kepada Roman Katolik. Akhirnya, Islam hanya dominan di Mindanao yang mana berdirinya Kesultanan Sulu hinggalah tamatnya pemerintahan Kesultanan Sulu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...