Wednesday, August 24, 2011

Nyawa dan Maruah

Gambar sebenar OKT, diambil oleh Bos Hamba (Ya, Bos Hamba juga seorang jurugambar! Disini.)

Untuk pembacaan orang awam dan bukan untuk pelajar undang-undang mahupun pengamal undang-undang

Minggu terakhir Ramadhan dan hendak masuknya Syawal ini, sedang orang lainnya sibuk dengan sambutan raya pada minggu depan, Hamba pula menghadap kes terakhir sebelum tamat tempoh ‘bertugas’ di firma guaman disini. Kes yang sejak dari awal minggu pertama masuk ke sini hinggalah menjadi kes terakhir bekerja disini.

Beberapa kali berjumpa dengan Orang Kena Tuduh (OKT) sebelum perbicaraan menyebabkan penghikayat agak rapat dengan OKT dan setiap kali berjumpa dengannya, dia tidak pernah sekalipun lekang dari Alhamdulillah, Allahuakbar, dan mulut yang sentiasa kumat kamit yang pada hemat penghikayat mungkin zikir-zikir memuji Tuhan.

OKT dihadapkan ke mahkamah dan dituduh atas tuduhan membunuh ibunya sendiri. OKT telah membunuh dengan menggunakan kapak besi dan menetak maknya sendiri di kepala sehingga menyebabkan satu tetakan yang begitu dalam dan menyebabkan hampir kepala mangsa terputus dan otak mangsa terbelah. OKT ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan mengenai pembunuhan maknya sendiri.

Kalau dilihat secara kasar, mudah saja hisabnya bukan? Pembunuh harus dijatuhkan hukuman atas kesalahannya. Lebih-lebih lagi bila OKT sanggup membunuh ibunya sendiri. Manusia jenis apa yang sanggup membunuh dengan cara yang sebegitu kejam pada ibunya sendiri?! Memang layak dan patut dihukum mati!

Dan peguam yang mewakili OKT tidak lebih dari seorang peguam yang gilakan duit! Yang sanggup mewakili seorang penjenayah yang begitu sadis dan tidak berperi kemanusiaan membunuh ibunya sendiri. Peguam ini juga seharusnya dihukum!

Keadilan bukan seperti ilmu hisab. Satu ditambah satu secara wajibnya menjadi dua. Jika sesiapa yang mengatakan sebaliknya, maka gila lah dia. Tetapi undang-undang jauh dari itu. Kerana saksama itu tidaklah selalu membawa makna adil, tapi adil itu yang akan sentiasa saksama.

Antara saksi untuk pendakwaan ialah ayah dan adik OKT. Apabila si ayah disoal oleh pendakwaraya, jelas suara sedikit gementar. Ditanya lagi berkenaan apa yang telah dilakukan semasa kejadian, bagaimana dia menjumpai mayat isterinya yang ditetak oleh anaknya sendiri dan bagaimana keadaan OKT apabila saksi ini menjumpai OKT ini selepas kejadian. Suara yang mulanya gementar bertukar menjadi sedih dan saksi beberapa kali menangis dan terhenti-henti semasa disoal oleh pendakwaraya. Dan tangisan itu menjadi kuat dan mahkamah terpaksa berhenti selama 5 minit apabila saksi diminta untuk mengecam mayat arwah isterinya yang dibedah siasat. Siapa pun akan menangis sebenarnya apabila melihat orang yang tersayang dibedah dan segala organ dibawa keluar untuk pemeriksaan.

Tapi satu yang pasti. Si ayah tidak pernah menyangka OKT akan berkelakuan sedemikian. Menurut saksi, OKT sepanjang hayatnya tidak pernah berkelakuan aneh dan sentiasa mengikut kehendak ayah dan ibunya. Malah, tidak pernah dia meninggi suara sepanjang hayatnya bukan saja dengan ayahnya, tetapi dengan adik-adik OKT. Namun setelah OKT pergi belajar dan berguru dengan seorang ‘sheikh’ untuk menuntut ilmu dalam, OKT berubah. Dari seorang periang menjadi pendiam, dan pemenung. Bercakap seorang dengan meyakini sheikh dari alam satu lagi datang untuk mengajarnya ilmu hikam.

Dan semasa kejadian, saksi berada didalam rumah sedang menonton tv dan isterinya (mangsa) pula diluar untuk menyidai pakaian. Kemudian saksi mengatakan yang dia mendengar seperti ada satu benda jatuh diluar. Kemudian mendengar suara mangsa, ‘Cik, jangan buat mak macam ini!’. Kemudian saksi mendengar satu hentakan kuat diluar rumah dan mendengar suara OKT bertakbir,

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Saksi nombor 5, adik kepada OKT pula memberi keterangan yang konsisten dengan keterangan dari saksi nombor 3, iaitu ayahnya. Si adik berada di dapur ketika kejadian dan hanya mendengar suara ibunya dan abangnya yang melaungkan takbir. Apabila keluar dari rumah, dilihat ibunya sudah terbaring di lantai dengan darah penuh di simen. Kepala ibunya hampir-hampir terputus kerana hentakan dari alat tajam yang berat.

Si adik juga memberikan keterangan dalam keadaan menangis. Sayu apabila diberitahunya kepada mahkamah apabila pendakwaraya meminta dia untuk melakukan pengecaman terhadap OKT. Sekali lagi, mahkamah terpaksa berhenti buat sementara. Saksi juga memberitahu kepada mahkamah walaupun saksi jarang pulang ke rumah kerana belajar, dia dapat merasakan perubahan pada OKT. Tidak ada lagi teguran dan sapaan baik dari OKT, tetapi OKT berubah menjadi pendiam dan bermenung dan berkurung di dalam biliknya sahaja.

Dipendekkan cerita (kerana terdapat 15 orang saksi untuk pendakwaaan), Doktor dari Hospital Permai Johor memberi keterangan. Sepanjang OKT berada didalam pemerhatian pakar disana, terbukti OKT mempunyai halusinasi dan menghidap schizophrenia (rangkaian ke Wikipedia). Dia meyakini suara-suara halus yang telah memandu dia untuk mendapat ilmu tertinggi didalam ajarannya. Dan dia pada masa kejadian, telah mendapat ‘wahyu’ untuk membunuh ibunya yang dikatakan dirasuki dan dia perlu membunuh jin itu. Tetakan kapak itu tidak akan mencederakan ibunya, tapi hanya membunuh jin tersebut!

Esok merupakan penghakiman untuk OKT. Jika pada pendapat hakim adanya prima facie (ke Wikipedia), maka OKT akan membuat pembelaan. Dan saat itu tugas seorang peguambela memainkan peranan.

Peguam (terutama peguambela jenayah) yang selalunya dikaitkan dengan penipu, dan membela orang jahat akhirnya juga akan membela OKT yang pada hemat Hamba tidak bersalah. Iya, peguam yang selalu dipandang serong didalam masyarakat.

Kalau masyarakat memandang mulia profesion perubatan (tidak bermaksud merendah martabat doktor) kerana menyelamatkan nyawa manusia, percayalah tugas seorang peguam jauh lebih berat dari itu. Menyelamatkan nyawa orang dan yang paling penting, menyelamatkan maruah seseorang. Kerana jikalau seseorang itu tidak bersalah tetapi kerana kelemahan peguam itu, maka dihukumnya seseorang itu, dan ditakdirkan Allah matinya dihukum gantung, maka bukan dia sahaja yang terkesan dan terkena hukuman, malahan seluruh keluarganya. Masyarakat sampai bila-bila akan memandangnya sebagai pembunuh, dan keluarganya mungkin disisihkan dari masyarakat. Dan itulah seberat-berat hukuman.

Pandangan masyarat pada profesion kepeguaman ini tak mungkin dapat dihapuskan dengan penulisan picisan dari Hamba ini. Tapi mungkin mampu mendetikkan didalam diri kalian untuk memandang sekali lagi pandangan kalian pada kepeguaman.

Dan yang paling penting, tidak terus menghukum orang sewenang-wenangnya. Seseorang itu tidak bersalah hinggalah terbukti dirinya bersalah. OKT layak untuk menerima pengadilan yang seadilnya dan masyarakat tidak pula harus menghukum tanpa mengetahui sebabnya.

Ikhlasnya, Hamba merasakan OKT perlu diberi peluang. Hukuman terlalu berat untuk OKT. Jikalau bapanya dan adiknya, yang kehilangan isteri dan mak merasakan OKT tidak bersalah, siapa kita untuk mengatakan OKT bersalah?

Pendapat kalian? Patutkah OKT dikenakan hukuman untuk tindakan yang beliau sendiri tidak sedari?

Kita tunggu sahaja keputusan pada esok hari.


ATINTYA ARYAMEHR

Sunday, August 21, 2011

Pelita itu Hindu!


Kita sudah masuk pada 21 Ramadhan untuk tahun ini. Maknanya hanya tinggal 9 hari lagi Ramadhan ini akan berakhir dan masuk pula bulan Syawal, bulan yang pada masa kecil kita dahulu, bulan yang paling kita tunggu-tunggu sepanjang tahun itu.

Bila masuk 10 hari terakhir, satu adat Melayu yang hanya akan ada pada 10 malam Ramadhan terakhir yang juga dikenali sebagai malam tujuh likur ini ialah adat memasang pelita.

Sebelum itu, ingin juga Hamba berikan makna likur itu. Likur itu sebenarnya mengikut Ayahanda Hamba bermaksud satu perbilangan antara 20-30. Maknanya antara angka 20 hinggalah angka 30 itu, disebut sebagai likur, contohnya 1 Likur (Malam 21), 2 Likur (Malam 22), 3 Likur (Malam 23) dan seterusnya.

Berbalik kepada isu pelita, ramai yang mengatakan itu sebenarnya meniru adat Hindu seperti mana mereka menyambut Diwali (Deepavali), dan tidak harus dan sepatutnya diamalkan dan bid’ah.

Pada Hamba, memasang pelita itu sebenarnya berbalik kepada niat masing-masing.

Jikalau betul ia menyerupai agama Hindu, izinkan Hamba memberi sedikit info berkenaan adat Hindu memasang pelita pada waktu Diwali ini memandangkan Hamba juga seorang Indologist. (rangkaian ke Wikipedia untuk maksud).

Menurut agama Hindu, menyalakan Diya (pelita) mempunyai signifikan agama yang mendalam. Dan api juga merupakan instrument penting didalam upacara keagamaan Hindu. Bahkan, cahaya dari Diya itu satu lambang kepada Tuhan. Ini berdasarkan satu mentera didalam antara salah satu kitab suci Hindu, Upanishad (rangkaian ke Wikipedia) yakni;

Om Ashota Ma Satgamaya,

(Oh Tuhan yang Agung, Pimpinlah kami keluar dari penipuan kepada kebenaran)

Tama Shoma Jyotir Gamaya,

( Dari Kegelapan kepada Cahaya)

Mrityorma Amritamgamaya,

(Dari Kematian kepada Kehidupan Kekal)

Om Shanti, Shanti, Shanti Om

(Oh Tuhan yang Agung, Aman, Aman, Aman Tuhan yang Agung)

Api itu dianggap sebagai semangat Tuhan. Api juga melambangkan kepada kebaikan mengalahkan kerosakan sepertimana yang disambut didalam Diwali. Ia juga melambangkan Atman,cahaya dalaman seseorang manusia itu yang tulus dan suci. Bagi mereka, tanpa Api, tiadalah kehidupan yang mana setiap manusia dan kehidupan didunia ini memerlukan cahaya.

Didalam perayaan diwali, pelita/diya dipasang untuk menandakan kemenangan kebaikan dari keburukan dan kerosakan.

Berbalik kepada budaya Melayu, pemasangan pelita tidak pula dikaitkan seperti mana yang didalam agama Hindu iaitu merayakan kemenangan kebaikan dari keburukan?. Jadinya Hamba tertanya-tanya dimana persamaan diantara pemasangan pelita sepertimana Melayu pada malam 7 likur dan perayaan Diwali oleh penganut Hindu? Hanya disebabkan memasang pelita terus dituduhnya meniru agama Hindu? Tanpa memahami falfasah disebalik pelita semasa sambutan Diwali?

Ramai yang mengaitkan pemasangan pelita ini dengan Lailatul Qadar dan Malaikat. Bagi Hamba, jikalau benar ini merupakan sebab disebalik adat pemasangan pelita ini pada malam 7 likur dan ‘menyambut’ Malaikat, apa salahnya?

Menyambut Malaikat disini bukanlah bermakna Malaikat itu buta. Tak juga bermakna Malaikat hanya akan pergi ke rumah yang memasang pelita pada malam Lailatul Qadar dan sebaliknya.

Pada Hamba, memasang pelita itu (jikalau benar adat ini diwujudkan kerana sebab diatas) ialah tidak lebih seperti meraikan ‘tetamu.’ Apa salahnya kita menghiasi rumah kita yang akan didatangi ‘tetamu’? Salah? Tak salahkan meraikan dan menghormati tetamu? Jadi apa salahnya?

Itu pun kalau betul sebab kepada wujudnya adat memasang pelita ini adalah kerana seperti diatas.

Tapi kita lihat pula sudut yang lain. Kenapa pula diadakan pada malam-malam terakhir Ramadhan? Kenapa kita tidak melihatnya pada kerangka lain? Mungkin niat orang tua dulu-dulu memasang pelita pada akhir-akhir Ramadhan ini semata-mata kerana hendak mudah untuk bangun bertahajud dan berqiamullail mencari Lailatul Qadar?

Iya lah, kalau rumah terang benderang pada waktu malamnya, bukankah lebih mudah untuk kita bangun dan menunaikan ibadat di tengah-tengah malam. Kenapa kita tak fikir macam tu? Terus pulak kita nak samakan dengan Diwali?

Atau mungkin juga dipasangnya pelita itu untuk memudahkan mereka dahulu untuk ke masjid untuk berqiam di masjid. Ye lah, zaman dahulu mana ada lampu jalan di kampong-kampung, dan pelita inilah lampu yang paling moden pada masa dahulu. Makanya, untuk meraikan Lailatul Qadar dengan pergi mengadakan qiamullail di masjid, dan untuk menerangi jalan untuk mudah ke masjid, maka dibuatnya adat memasang pelita ini.


Jadi salahkah pelita itu dipasang? Hanya semata-mata kerana menyerupai Diwali, maka dituduhnya segala bagai tanpa usul periksa.

Akhirnya, semuanya terletak pada niat individu. Pada Hamba, pasang pelita tidak lebih untuk menyambut Ramadhan terakhir ini, menyemarakkan malam-malam terakhir ini dan meraikan adat yang pada Hamba penuh simbolik. Tidak lebih daripada itu dan tidak pernah ada niat untuk mewujudkan bid’ah didalam agama.

Akhirnya, bersama kita di malam-malam akhir ini beribadat mencari malam yang lebih baik dari 1000 bulan. :)

Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.

Dan tahukah kami apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan,

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. - Al-Qadr -


Atintya Aryamehr.

Friday, August 19, 2011

Psst... Psst.. Ada Barang Baik Bro..

Ok, kalau kita pergi mana-mana pastu ada satu contest yang hadiahnya lumayan contohnya Kereta Merc/BMW/Ferrari/etc, atau Rumah banglo area Keramat/Bukit Mahkota/mahupun Beseri, Perlis. Pastu nak masuk contest ni tak payah bayar apa-apa, siapa-siapa pun boleh masuk dan boleh submit seberapa banyak peneyertaan pun takpe bak kata orang "makin banyak submit, makin tinggi peluang nak menang".

Nak ke tak? mestilah nak an?

Syukur Alhamdulillah kita dah orang muslim dah masuk fasa ke-3 bulan Ramadhan yang mulia ni. Dan dalam 10 malam terakhir ni Allah dah janjikan pada kita "satu ganjaran" iaitu satu malam yang amalan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadar.

Kalau kita pi mana-mana masjid ke, surau ke, ceramah ke, atau solat jumaat, sampai je period 10 malam terakhir ni mesti je cakap pasal malam Lailatu Qadar dan kelebihan-kelebihannya.

Cuma bila dah 3-4 hari terakhir tu dah tak cakap dah pasal malam Lailatul Qadar ni. Time tu dah mula dah cakap pasal 1 Syawal. Saf pun kadang-kadang yang time fasa pertama adelah 5-6 saf, fasa ke-2 2-3 saf, fasa hari-hari terakhir adalah imam ngan bilal je. hehehhe...

OK, Lets go!


KELEBIHAN MENGHIDUPKAN MALAM AL-QADR

Kelebihannya terdapat dalam dua hadith sohih dan selain keduanya, telah diriwayatkan dari Abi Hurairah radhiallahuanhu, dari Nabi salallahualaihi wasalam telah bersabda; “ Barangsiapa yang menghidupkan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah, di ampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu ” , dalam riwayat Al-Imam An-Nasaie telah menambah: “ Dan dosanya yang akan datang ”.

HIKMAH MALAM AL-QADR DI RAHSIAKAN

Allah Ta’ala telah merahsiakan malam Al-Qadr ini, dan Rasulullah salallahualaihi wasalam telah menjelaskan bahawa waktu yang di jangka akan berlakunya malam Al-Qadr adalah antara 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Justeru itu, hikmah daripada perahsiaan malam Al-Qadr ialah agar orang-orang yang beriman bersungguh-sungguh dalam beribadat sepanjang malam bulan Ramadhan dan agar mereka sentiasa meneliti dan menanti akan kehadirannya pada setiap malam. Selain itu,antara hikmah ianya dirahsiakan ialah sebagai satu cara dari cara-cara untuk memupuk rasa asyik dan suka dalam beribadah serta menjaganya dengan baik.Oleh yang demikian akan bertambahlah kesungguhan dalam beribadah. Hikmah penyembunyian malam Al-Qadr ini adalah serupa seperti penyembunyian waktu yang mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat, nama-nama Allah yang Maha Agung, dan rahsia Allah dalam ciptaan-Nya, redho Allah bagi hamba-hamba-Nya yang taat dan murka-Nya bagi siapa yang berbuat maksiat kepada-Nya.

TANDA-TANDA MALAM AL-QADR

Antara tanda-tanda yang paling utama yang telah di sebutkan dan di tetapkan di dalam kitab-kitab sunnah nabawiyyah adalah seperti berikut:

1. Ianya berada pada setiap malam bulan Ramadhan dan juga pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjil.

2. Pada malam itu banyak malaikat yang turun ke bumi dalam bilangan yang tidak terkira.

3. Suasana pada malam itu tenang, cuacanya pula tidak panas dan tidak pula sejuk.

4. Pada paginya pula,matahari akan kelihatan kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya, ianya terbit tetapi tidak bersinar At-Toyalisi telah menyatakan dari Ibnu Abbas radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda berkenaan dengan malam Al-Qadr; “ Malam yang dikabulkan segala doa, tidak panas dan tidak pula sejuk, dan matahari pada paginya kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya ”. Muslim telah meriwayatkan dari Zar bin Habish dari Abi Ka’ab: " Sesungguhnya matahari pada paginya terbit tanpa sinaran padanya”, manakala Ubai pula berkata: " Kami telah di beritahu oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam; Sesungguhnya ianya terbit pada hari itu tanpa sinaran padanya ”.

Adapun tanda-tanda lain yang tidak bersandarkan kepada dalil musnad sohih tetapi ianya berdasarkan pengalaman dan pengamatan individu-individu berkenaan dengan malam tersebut, antaranya ialah :

1. Air laut tiba-tiba menjadi beku

2. Tiada seekor anjing pun yang menyalak pada malam itu.

3. Keldai-keldai pula tidak bersuara.

4. Pokok-pokok kelihatan menundukkan dahan-dahannya ke bumi.

5. Terdapat cahaya yang kelihatan berkilau pada tempat-tempat yang biasanya gelap.

PENENTUAN MALAM AL-QADR

Kebanyakan hadis yang warid daripada Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam menyatakan bahawa waktu berlakunya malam Al-Qadr secara umum dan yang paling sohih menyatakan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan, pada 10 malam yang terakhir dan kemungkinan besar pada malam-malam yang ganjil iaitu : 21,23,25,27,29. Al-Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Saiyidah Aisyah radiallahhuanha berkata; Bersabda Rasulullah salallahualaihi wasalam, “ Carilah malam Al-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan ”. Dan Al-Imam Al-Bukhari juga telah meriwayatkan daripada Ibni Abbas berkata: bersabda Rasulullah salallahualaihi wasalam; ” Carilah ianya pada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan,………”. Selain itu, banyak lagi hadis-hadis lain yang seumpama dengannya.

CIRI-CIRI MALAM AL-QADR

1. Ia adalah malam diturunkan Al-Quran

2. Ia adalah malam yang mana ditetapkan segala perkara daripada perkara-perkara yang akan berlaku sepanjang tahun.

3. Ia adalah malam yang lebih baik di sisi Allah Ta'ala dari seribu bulan dan amalan kebajikan pada malam tersebut dilipatgandakan.

4. Sesungguh para malaikat turun ke bumi pada malam tersebut bersama dengan Ar-Ruh iaitu Jibrail alaihisalam.

5. Ia adalah malam yang aman, tenteram, sejahtera sehinggalah terbitnya fajar.

PERKARA-PERKARA SUNAT DAN ADAB-ADAB PADA MALAM AL-QADR

1. Daripada perkara-perkara sunnah yang utama yang dianjurkan ialah berazam dan berniat untuk menghidupkan malam tersebut dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

2. Dianjurkan untuk mandi pada setiap malam daripada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan,berhias-hias dengan wangian,dan memakai daripada secantik-cantik baju selepas solat Maghrib sebelum solat Isyak da Terawih. Sesungguhnya perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat dan tabiin,dan di kalangan mereka ada yang melakukannya sepanjang bulan Ramadhan.

3. Tidak menjamah makanan dan minuman yang terlalu berat semasa berbuka puasa untuk mengelakkan perasaan malas dan lesu ketika beribadah dan lemah untuk menghidupkan malamnya.

4. Memperbanyakkan doa, rintihan,memohon keampunan, kesihatan, keafiatan yang berkekalan dalam agama semasa di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya Saiyidah Aishah radiallahuanha telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w berkenaan dengan malam tersebut, ” Apakah yang akan aku ucapkan apabila bertemu dengan malam Al-Qadr? Maka Nabi menjawab, “ Katakanlah:

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

5. Dianjurkan untuk mengejutkan ahli keluarga sama ada yang kecil mahupun yang besar bertepatan dengan hadis sohih daripada nabi Muhammad s.a.w bahawasanya nabi Muhammad salallahualaihi wasalam padanya mengejutkan ahli keluarganya pada malam tersebut.

6. Dan daripada perkara-perkara sunat yang dianjurkan untuk melakukannya pada malam tersebut ialah menjaga solat maghrib, isyak dan subuh secara berjemaah begitu juga solat sunat terawih dan qiam.

7. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada malam Al-Qadar. Diriwayatkan bahawa Ibrahim An-Nakhie melazimi membaca al-quran dan khatam dalam bulan ramadhan pada setiap tiga hari. Apabila masuknya sepuluh malam terakhir beliau akan menamatkan bacaan Al-Quran pada setiap dua malam( iaitu beliau menambah bacaan Al-Quran pada malam-malam yang dijangkakan berlakunya lailatulqadar ).

8. Selain itu,dianjurkan juga pada malam tersebut untuk melakukan amal kebajikan dan sedekah.Ini bersesuaian dengan apa yang telah disampaikan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, katanya: " Amalan pada malam lailatulqadar, sedekah, solat dan zakat adalah lebih baik daripada seribu bulan ".

SEBAIK-BAIK AMALAN PADA MALAM AL-QADR

• Sufian as-Sauri telah berkata: " Doa pada malam lailatulqadar lebih aku sukai daripada memperbanyakkan solat ".

• Al-Hafiz bin Rejab pula berkata: " Yang dimaksudkan dengan banyaknya doa lebih baik daripada solat yang kurang padanya doa,sebaliknya sekiranya solat disertakan dengan banyaknya doa itu adalah lebih baik. Sesungguhnya rasulullah salallahualaihi wasalam bersolat, membaca Al-Quran dan berdoa maka terhimpun diantara solat, bacaan Al-Quran, doa dan tafakkur pada satu waktu maka sesiapa yang melakukannya adalah lebih baik dan lebih sempurna ".

PERSOALAN

S: Adakah orang yang bermusafir,wanita yang bernifas atau kedatangan haid berpeluang untuk mendapatkan malam Al-Qadr?

J: Al-Juwaibir telah berkata: " Aku pernah bertanya kepada Ad-Dahhak, adakah wanita yang bernifas dan yang kedatangan haid, orang yang bermusafir, dan yang tidur akan memperoleh lailatul Qadar ? " Dia berkata: " Ya,sesiapa yang Allah Ta'ala terima akan amalannya, maka dia akan dipertemukan oleh Allah Taala dengan Lailatul Qadar. Maksudnya ialah sekiranya mereka itu melakukan amal kebajikan dalam bulan Ramadhan lalu diterima oleh Allah Taala, maka sesiapa yang diterima amalannya, tidak mustahil untuk dia mendapatkan malam Lailatul Qadar ".


sumber Thafaqah


Ganjaran ni bukan macam ganjaran-ganjaran dunia yang mana hanya beberapa orang sahaja yang boleh dapat/menang. Ganjaran ni Allah berikan pada semua/siapa-siapa orang muslim yang beribadat dan menghidupkan malam Lailatul Qadar ini. SEMUA ORANG BOLEH DAPAT!

Jadi, kenapa nak tunggu lagi?
Rugi kalau terlepas peluang ni..
Sebab ganjaran ni memang dah konfirm kita boleh dapat!!

Bila ada peraduan yang dianjurkan yang peluang kita nak menang tak sampai 25% pun kita sanggup, ni kan yang dah terang-terang kita boleh dapat.

Marilah kita sama-sama mencari malam Lailatul Qadar untuk menampung amalan kita yang tak seberapa sebagai bekalan kita di akhirat kelak.

Mari beramal :D

Wednesday, August 17, 2011

500 Tahun Nakbah Bangsa Melayu



Di atas robohan Kota Melaka,

Kita dirikan jiwa merdeka,

Bersatu padulah segenap baka,

Membela hak keadilan pusaka. – Dr Burhanuddin al-Helmy-


Sejujurnya, inilah tulisan yang paling berat untuk penghikayat. Dan tulisan yang paling panjang masanya untuk dihabiskan. 5 hari untuk satu tulisan yang pada hakikatnya tidaklah ada sebarang fakta atau penulisan yang tersirat!

Apa beratnya? Berat kerana merasakan tanggungjawab yang tidak terkira pada pundak penghikayat untuk memberikan yang terbaik. Supaya semua anak Melayu yang sudah lupa akan satu kisah leluhur mereka untuk kembali mengingati sejarah hitam bangsanya. Dan akhirnya, untuk mereka bingkas dari tidur yang lena itu dan teringat akan pesan hikmat Laksamana Tun Tuah,

Takkan Melayu Hilang di Dunia.


Hari ini genaplah satu tarikh yang bersejarah. Tarikh hitam yang menyelubungi sekelian anak Melayu. Nakbah Melayu.

Hari bermulanya bangsaku diinjak-injak. Hari bermulanya bangsaku hilang pedoman dan arah. Hari yang mana bangsaku mula lupa.

Hari ini, 500 tahun yang lepas, tepatnya pada 15 Ogos 1511, Melaka akhirnya tumbang kepada penjajah Feringgi laknatullah. Setelah berhempas pulas untuk bumi Melayu ini, akhirnya Sultan Mahmud dan angkatan baginda sudah tidak lagi mampu untuk mempertahankan kedaulatan dan pusaka turun temurun bangsa. Berundur baginda ke Pahang dan akhirnya berkerajaan di Kampar, Riau manakala kedua anakanda menubuhkan kerajaan baru, menggantikan kerajaan yang tidak mungkin dapat diganti buat selamanya.

Tumbangnya Melaka, bermakna hilanglah payung yang memayungi sekelian umat Melayu. Tempat berteduh dan berlindung anak Melayu. Hilang sudah perisai yang mempertahan dan menjaga kedaulatan bumi Melayu dan sekelian hamba Melayu. Hilang sudah Khalifah di bumi timur jauh.

Ya, kejatuhan Melaka melambangkan kebangkitan kerajaan Melayu yang lain seperti Brunei, Aceh, dan disusuli pula dengan Johor. Ini kerana itu adalah sifat alami seorang Melayu. Melayu tidak rela hidup sebagai hamba kepada bangsa lain melainkan kepada Melayu jua. Dalam diri Melayu itu ada sifat yang berbangga pada dirinya, pada bangsanya, kerana itulah Melayu, Tuan kepada dirinya sendiri dan bukannya kepada bangsa lain.

Melayu tidak rela melihat kepada kejatuhan Melaka. Melayu tidak rela melihat Melaka terjajah kerana Melaka itu adalah Melayu dan setiap didalam hati sanubari anak Melayu itu pasti tersimpan Melaka. Setiap didalam diri anak Melayu itu pasti berkait dengan Melaka, dengan keadilan Sultan Alauddin Riayat Syah, dengan keperwiraan Laksamana Tun Tuah dan kebijaksanaan Tun Perak.

Tetapi kemunculan kerajaan seterusnya tidak mampu menyaingi kehebatan dua empayar Melayu. Srivijaya sebelum ketibaan Islam dan Melaka setelah Melayu kembali kepada fitrah alami. Melayu hanya pernah bersatu dibawah dua nama, Kedatuan Sriwijaya dan Kesultanan Melaka.

Kejatuhan Melaka merupakan celaka buat sekelian anak Melayu. Kejatuhan yang pada hemat penghikayat masih lagi dicari-cari kebangkitannya.

Hai anak Melayu,

Jatuhnya Melaka bukan kerana kelemahan ketenteraan kita. Jatuhnya Melaka bukan kerana kita memakai parang, mereka memakai senapang. Sejarah membuktikan sebaliknya apabila 6000 pucuk meriam dan 8 ribu pucuk senjata api tersadai apabila Feringgi menawan Melaka. [Suma Oriental, Tome Pires] Jatuhnya Melaka bukan kerana kita menggunakan perahu, mereka menggunakan kapal (penyelewengan yang boleh kita lihat pada buku teks sejarah).

Melaka jatuh kerana Kelemahan Pemimpin. Sultan Mahmud yang lebih mementingkan hawa nafsunya semata dan tidak pernah menghirau kepada rakyat. Waadat antara Sang Sapurba leluhurnya dan Demang Lebar Daun sudah mula dilupakan. Rakyat dizalimi, kebajikan tidak pernah dipeduli. Maka waadat yang dipegang itu jugalah yang memakan diri,

“Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.


Jikalau ada seorang raja memberi aib scorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.”

- Sulalatus Salitin-

Pimpinan Penasihat penuh helah bermain siasah, mengaut keuntungan kepada diri sendiri tanpa menghirau kepada kepentingan negeri. Siasah di istana tidak lebih untuk mengaut keuntungan dan merebut kekayaan. Apa cara dihalalkan demi kuasa. Sedangkan pemimpin seperti Tun Perak didalam pentadbiran dan Laksamana Tun Tuah sudah tiada dan hanya tinggal kenangan.

Jatuhnya Melaka kerana Pemimpin Bukan pada Ahlinya. Batang Tubuh yang sepatutnya menjadi Sultan dipinggirkan, dibuang dari takhta. Tinggallah Raja Munawar Shah, anakanda Sultan Alauddin yang warak dan zuhud itu di pinggirkan, sedangkan Mahmud keturunan Mamak pula dibaiahkan untuk berkuasa. Mana mungkin seorang yang bukan ahlinya mampu untuk memegang tampuk yang bukan haknya? Semata-mata kerana mahukan kuasa, Bendahara Seri Maharaja [Mamak], Tun Senaja [Ibunda Raja Mahmud dan Anakanda Bendahara] dan Raja Mahmud sanggup membunuh Sultan Alauddin Riayat Shah! Sultan sebaik-baik Sultan, untuk umat Melayu sepanjang zaman.

Melaka jatuh kerana Hasad Dengki. Penyakit yang masih pada hari ini hinggap pada diri Melayu. Fitnah berleluasa dan hasad kepada yang lain bermaharaja. Tun Mutahir difitnah dek kerana kuasa. Sultan yang berajakan nafsu membunuh sekelian keluarganya kecuali Tun Fatimah yang diperisterikan. Kedengkian para menteri dan orang besar melihat kepada Tun Mutahir lah punca segalanya. Sultan Mahmud sanggup membunuh saudara kandungnya Raja Zainal dek kerana mempunyai paras rupa yang menawan dan memikat sekelian gadis Melaka.

Melaka jatuh kerana Pengkhianatan. Pengkhianatan yang sungguh memeritkan buat Melaka yang selama itu menjadi tempat berlindung sekelian mereka. Melaka rebah dek kerana pengkhianatan Utimutiraja si Jawa yang mengepalai 500 tentera upahan Jawa membelot Tuannya. Melaka roboh kerana pedagang Cina berpaling tadah [mungkin ada di antara mereka akan menuduh Hamba cuba menyemai benci pada Cina. Tapi sejarah tetap sejarah] menukar taat setia daripada Sultan kepada Feringgi. Melayu jahanam seperti Mendeliar, Si Kitul, Khoja Hassan lebih mementingkan diri dari negeri. Taat setia pada mereka yang boleh memberi kuasa. Taat setia untuk mereka yang boleh membawa untung!

Melaka jatuh kerana Perpecahan Umat.

Hai anak Melayu!

Adakah kalian menyangka tujuan leluhur kita menulis sejarah bangsa untuk berbangga? Kalian menyangka leluhur kita menulis untuk berbangga dengan kecelakaan yang telah berlaku pada mereka? Kalian menyangka Tun Tuah tika melafazkan ‘Tuah Sakti Hamba Negeri, Esa Hilang Dua Terbilang, Takkan Melayu Hilang di Dunia’ untuk kita bersenang, kerana Melayu takkan mungkin hilang didunia? Kalian menyangka mereka menitip sejarah bangsa dengan dakwat darah ini sekadar untuk kita merintih dan bersedih atas apa yang berlaku?

Ditulisnya segala kecelakaan ini kerana kita. Untuk kita menitip kembali kesalahan yang berlaku, yang pernah mereka lakukan untuk tidak berulang. Untuk kita tidak mengulangi apa yang telah mereka lakukan. UNTUK KITA BERWASAPADA. UNTUK KITA MAJU SEBAGAI MELAYU YANG TAKKAN HILANG DI DUNIA.

Tapi kita tidak pernah belajar dari sejarah. Kita tidak pernah membuka helaian hikayat bangsa kita untuk melihat ‘tunjuk ajar’ yang telah diturunkan kepada kita. Walhasilnya, perkara sama mungkin akan berulang. Kalau kita terus lena, terus tertidur.

500 tahun telah berlalu, dan Tanah Melayu ini telah merdeka sejak 1957. Tapi adakah kita, anak watan yang lahir disini, yang leluhurnya terkubur disini benar-benar bebas dari penjajahan 1511? Adakah kita mampu untuk membina semula Melaka yang baru, bahkan lebih besar dari itu? Adakah kita bersedia untuk menjulang kembali nama leluhur kita yang telah dipesongkan bangsa asing?

Atau kita perlukan 500 tahun lagi untuk benar-benar MERDEKA?

Doa dan al-Fatihah Hamba buat leluhurku yang bijaksana, yang menitip dan sanggup membuka pekung di dada menceritakan kelemahan mereka untuk memastikan anak bangsanya tidak mengulangi apa yang telah terjadi. Terpulang pada kita akhirnya.

Ayuh anak Melayu!


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya” - Ar-Ra’d :11


Nota Kaki: Tulisan ini telah disiapkan tepat pada 15/8/2011 tapi ditunda untuk dititip di dalam blog SayaBudakMelayu kerana si penghikayat terlalu sibuk dengan Istiadat Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Kesultanan Melayu Islam Melaka pada hari tersebut.

Sunday, August 14, 2011

BENGANG tak agak-agak?


bismillah walhamdulillah.

apa agaknya yg kita rasa.
bila dah penat2 buat something. yg dijanjikan balasan.
tp it's end dgn kita x dpt apa2?

mak janji nk beli PS2 kalau dpt no1 exam.
tp lepas dpt no.1, mak x beli kn pun sbb bapak xdpt bonus.
msti r rasa nk jadi HULK kn?
penat2 meniru member separuh nyawa. xdpt PS2 lak, bengang bhai!

awek janji nk teman tgok Zookeeper klu tolong bayarkn saman dia.
nk buat camna. kang x bayar, xleh check result pulak dia.
n lepas diet-kn wallet slim beli kt uptown 2.
awek xnk tengok pulak. konon2 sbb alahan tgok Gorilla.
msti r rasa mcm nk start blaja ckp indo, nk adjust cewek KLCC kn.
sia2 buat muka tebal cm Dunlop nk appeal pnye pasal. bengang bhai!

TAPI.
sama ke degree x puas hati kita.
klu Rasulullah dh janji. dengan puasa btol2,
dosa2 kita yg berkapal2 sblom2 ni.
akan diampunkn ALLAH.

"Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaanAllah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
(Rujuk: Al-Targhib II:206)

dlm kita layan2 movie sbb boring kt rumah.
dlm kita turun baazar tiap2 petang g segarkn mata.
dlm kita tgh part-time sbb nk carik duit raya.
pernah tak kita muhasabah sket?

BERKUALITI TAK PUASA KITA NI?

btol k puasa jenis camni yg Allah nak?
klu x btol, klu x brkualiti,
akan sempat lg k kita nk tempuhi Ramadhan lain lpas2 ni?
utk dpt apa yg baginda Rasul dh janji. keampunan Allah.

dan separuh kita berpuasa.
penat2 bangon sahor 4-5 pg.
penat2 tahan korek hidung tgh2 hari.
penat2 berlapar-berdahaga spjg hari.

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الجُوْعُ وَالعَطَشُ

“Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga.” (HR. Ath Thobroniy dalam Al Kabir)

agak2 bengang tak kita?
kalau kita tergolong dlm group nih?
Nauzubillahi min zaalik.

supaya kita tidak dibelenggu 'bengang' sbb silap sndri.
supaya kita tak menyesal kt padang Mahsyar nnti.
jom! sama2 kita FIGHT supaya puasa kita dterima Allah.
n kita dpt apa yg dijanjikn. utk org2 yg puasa.
------pengampunan Allah atas dosa2 silam kita------

wallahua'lam. semoga Dia memberkati.

*nyesal aku xpuasa btol2 dlu :(*




:: melayu? untuk apa sebuah kebanggaan? ::
.illallah.

Saturday, August 13, 2011

Bila Evolusi Jadi Revolusi vs Realiti






Rasenye agak dah lame aku xpergi tengok wayang ni,,nak tunggu movie yang boleh buat aku teruja macam cerita INCEPTION ntah bile lar kan.. lagipun, torrent kan ada nak tolong orang2 yg susah macam aku ni, oopss, SUSAH nak keluar duit tengok movie kat panggung wayang macam aku.. kenapa susah? sebab aku bukan jenis senang macam korang.. jenis yang SENANG2 keluar dwet 11 or 12 hinggit untuk tengok movie yg indah khabar dari rupa, jalan cerita ntah ape2.. this is sadly true.. well, ofcoz aku pernah kena macam tu, sebab tu aku jadi susah macam sekarang ni,, susah nak keluar duit tengok latest movie kat panggung yang konon macam best gile bile usha trailer die padahal macam....

perlu ke aku bagi contoh? sori lar, aku xnak memalukan atau mengkritik mana2 filem, sebab aku x suke 'KONGSI' bende2 macam ni, apatah lagi nak TRANSFORMers 3 kan kemeluatan aku kat filem2 yang aku rase xbest kat sini., :p so, sebelum aku pergi tengok mane2 movie, aku akan tengok feedback orang lain dulu.. sedih ke jadi macam aku? biasa lar, aku orang SUSAH, bukan orang SENANG2 macam korang,, :p

The Rise of Planet of The Apes ni secara kasarnya bertemakan bila evolusi jadi revolusi, bukan macam teori darwin 2, :p tapi bila ada manusia2 yang bijak pandai dalam eksperimen2 ni yang menyebabkan monyet2 ujikaji ni jadi bijak tahap manusia. eh, apsal x logik plak? name pon filem kan,, tambah plak yang impossible is nothing bak kate NIKE.. xpayah nak tengok jauh2, cube tengok china 2, plastik dorang bole tukar jadi nasi, daging babi dorang bole tukar jadi daging lembu, setakat nak bagi monyet2 jadi bijak ni apelah sangat kan. haha..

dah2, actually 2 bukan point aku.. aku bukannya penganalisis filem nak cerita panjang lebar kat korang pasal cerita apes ni,, point aku adalah...

apa persamaan dan perbezaan The Rise of Planet of The Apes ni ngan London Riot???

hey2.. sumpah aku xde niat nak cakap orang london ni same macam monyet, jangan pandai2 nak buat kesimpulan sendiri.. :p aku cume nak bagitau yang aku rase rusuhan yang monyet2 tu buat dalam cerita tu lagi better dari rusuhan london riot ni..

ape plak london riot ni? ceh, buletin utama kan ade, aku tau ade yg anti buletin utama ni, tapi korang jangan risau sangat, bab2 luar negara ni korang boleh percaya tau, xdenye nak reka2.. :p
ok, secara ringkasnya london riot ni rusuhan yang terjadi sebab adanya perasaan x puas hati yang katanya berpunca dari penindasan seperti dipulaukan dan atas sebab kemiskinan yang dah lame disimpan. Ringkas x? (nak details, buletin utama kan ada :p)

hah, jadi apa yang sama dan apa yang bezanya monyet2 dalam crite 2 ngan london riot ni?

Persamaan,

1- berlakunya rusuhan atas adanya alasan, bukan sebab suka2.. dan alasan yang nyata ialah adanya penindasan yang menyebabkan ketidakpuashatian. Sedangkan monyet pon xpuas hati kena tindas, apatah lagi manusia kan??

2- kenapa pilih untuk merusuh? mungkin dengan cara ni je lar baru kau nak dengar apa aku nak cakap kan.. hey, bukan aku yang cakap, tapi perusuh tu yang cakap tau..

television reporter: Is rioting the correct way to express your discontent?
young man: "Yes, You wouldn't be talking to me now if we didn't riot, would you?"

Perbezaan,

1- matlamat dan cara mencapai matlamat, ayat skema habis dah aku ni.. :p ok, fyi, matlamat monyet2 dalam cerita tu ialah diorang mahukan kebebasan, hutan punye ar besar, kat sangkar kecik jugak yang kau nak diorang tinggal. Matlamat london riot plak ialah mahukan suara ketidakpuashatian diorang didengar.

jadi apa bezanya? bezanya ialah monyet2 dalam cerita tu xade seekor pon yang aku tengok pecah masuk kedai orang lain curi botol2 arak serta tv plasma untuk diorang bawa balik letak kat hutan. Lagi 1, monyet ni pon pandai jugak etika dalam merusuh ni, polis2 yang nak halang dan bunuh diorang ni pon, still leader diorang xbagi untuk diorang ni bunuh polis itu, kirenya meminimakan kecederaan lar even terpaksa melawan. London Riot, ni pon melawan jugak, setakat baling2 batu ni aku macam ok lagi, tapi bab2 pecah2 kedai orang lain, curi tv plasma ni,, haih,, terpesong bebenor dah 2.. siap ada interview sorang perusuh ni yang die suke rusuhan ni sebab dapat tv plasma.. what the hell lar kan? :p

2- apa yang penting? kerjasama... bukan aku yang cakap, ni wonderpet yang cakap.. see? bijak haiwan2 ni sebenarnya.. :p ok serius2, dengan adanya leader yang berketrampilan lagi dihormati, matlamat memang xlari.. dengan terjaganya tatasusila rusuhan, matlamat akan tercapai jugak, even ada yang terkorban, akhirnya dapat jugak diorang back to their nature, HUTAN.. London Riot? yang aku pasti, kurangnya satupadu dan kerjasama dalam riot ni, sbb diorang xde leader yg berketrampilan macam 'caesar' dalam cerita apes ni.. :p sebab tu disebalik rusuhan oleh mereka2 yang ingin memperjuangkan hak asasi masing2, lahir opportunist2 yang sebenarnya lebih memperjuangkan hak untuk memiliki tv plasma kat rumah masing2.. :p

maka, sukalah untuk aku cakap kat sini, xsalah untuk berguru dengan binatang, cume jangan korang berguru ilmu yang salah dari binatang dah ar.. haa,, macam haruan makan anak tu,, :p

wey, merusuh tu x bagus tau, tapi aku suke jawapan perusuh tu, kalau aku x merusuh, ko ad hati nak pandang dan dengar masalah aku ke?? ape2 pon jangan merusuh! sekurang2 nya dari ape yang aku lihat, aku boleh berbangga sebab kat malaysia x macam ni, atleast dalam demonstrasi sebelum ni, aku xde dengar kes kedai tv kena pecah untuk curi tv plasma letak kat rumah sendiri.. :D haha..

p/s: feedback aku untuk korang, xrugi tengok the rise of planet of the apes.. ;)





Friday, August 12, 2011

Juadah Pemikiran Jumaat: Freemasonophobia & UMNOphobia.


Salahkan Zionis
Atau Freemason
Salahkan Nazi
Dan Klu Klux Klan
Salahkan orangtua
Salahkan sejarah
Salahkan semuanya
Tapi dirimu
Bukalah hatimu
Pada kebenaran
Buka hatimu
Pada kebenaran

-Bukalah Hatimu, M Nasir-

Sekadar sembang ringan-ringan di hari Jumaat. Tak perlu ayat bombastik dan fakta yang keterlaluan. Cukup untuk hanya berfikir sejenak.

Freemasonophobia.

Hamba sering ditanya berkenaan Freemason dan seangkatan dengannya. Nak-nak lagi bila tulisan terakhir menceritakan berkenaan cadangan Filipina untuk menggunakan nama MALAYSIA sebagai nama negara mereka yang baru menggantikan nama yang diambil dari seorang Raja Sepanyol, Raja Phillip II, antara soalan susulan dari rakan ialah berkenaan Freemason. Betulkah MALAYSIA ini sebenarnya idea dari gerakan Freemason. Apakah penubuhan MALAYSIA ini sebenarnya satu permainan dari Freemason.

Sejujurnya, Hamba malas hendak melayan soalan-soalan seperti ini. Maaf kalau boleh dikategorikan soalan ini sebagai soalan pemalas!

Ya! Pemalas sebab tidak mahu membaca, sekadar hanya picisan-picisan yang langsung tidak berbentuk intelektual.

Pertama, mahu dinyatakan disini yang Hamba tidak menolak kewujudan Freemason ini, dan tidak pula menafikan penglibatan Freemason ini. NAMUN yang menjadi persoalan kenapa orang kita terlalu fobia dengan Freemason ini?

Hebat sangat ke sampai perlu ditakutkan dan HAMPIR SEMUA perkara perlu kita kaitkan dengan Freemason? Besar mana kekuatan Freeemason tu sampai kita perlu mengaitkan setiap perkara itu dengan Freemason?

Kita suka menyalahkan orang lain tapi tak pernah melihat kepada kesalahan diri sendiri. Kita menuduh bahawa Freemason punca kerosakan umat, sedangkan kita tidak pulak melihat bahawa kelemahan itu datangnya dari kita sendiri. Kita berada didalam keadaan tidak mahu mengaku kelemahan diri (state of denial), Kita sebenarnya FOBIA.

Hamba malas mengulas lebih panjang berkenaan FOBIA kita pada benda yang tidak dapat dilihat ini. Dah katanya yang tulisan kali ini sememangnya bukan untuk memberi fakta, atau ayat yang bombastik, tapi lebih untuk kita berfikir dengan lebih mendalam siapa kita yang sebenarnya. Untuk itu, Hamba merasakan lagu Bukalah Hatimu (rangkaian ke video) dan Perang Yang Satu Lagi (rangkaian ke video) mampu memberi pemahaman untuk sesiapa yang mencari. Selami dan pahami lirik diberikan dan tanyakan kepada diri anda sendiri. :) Dan syor juga kepada semua, dari mendengar lagu yang langsung tidak membawa erti, apa kata kita bongkar Youtube di hari Jumaat ini dan carilah lagu-lagu M.Nasir, dan hayati lirik nya, pasti ditemui hati sufi dan seni untuk sesiapa yang menghayati.

Ini bukan peperanganmu
Mbah tertawakan aku
Hanya sistem kekalutan
Yang tak perlu kau tahu
Bahkan lebih menguntungkan
Kau serap dalam meraka
Tapi kau bukan mereka
Bukan mereka

Bagaikan realiti
Jatuh bangun kerajaan dunia
Dan semua mengejarnya
Atas nama kemajuan
Perang tak boleh di elakkan
Hari ini atau esok
Pasti berlaku, pasti berlaku

Ya salam....
Ya salam....

Kenal dulu ketakutan
Yang kau simpan
Malu nak lepaskan
Kenal dulu kekuatan
Yang kau ragukan

Aku bertanya mbah lagi
Perang apa yang lebih menakutkan
Katanya takkan kau tak tahu
Pesan baginda mu dulu
Perang itukah maksudmu
Maksudmu yang lagi satu

Yang lagi satu....
Yang lagi satu....
Ya salam.....
Ya salam.....oh....
Ya salam....

Kenal dulu ketakutan yang kau simpan

Menyinsing subuh syafili
Pulanglah mereka...ke penjara
Masing-masing...

UMNOPHOBIA

Apabila membaca komen khususnya didalam webportal, kecewa melihat komen-komen yang langsung tidak menampakkan keintelektualan dan kematangan bangsa kita. Kita mengharapkan politik bersih (seperti mana didalam tuntutan BERSIH 2.0) tetapi apa kurang ceteknya pemikiran kita berbanding mereka? Sama dan tidak ada yang berbeza, Komen yang lebih berbentuk hasad dan dendam dan bukannya sesuatu yang membina.

Ya, UMNO salah dan bobrok tapi perlu ke hendak menyalahkan semuanya pada UMNO?

Kaji dengan akal fikiran, dan bukannya nafsu amarah dan emosi semata-mata. Jangan bersikap hanya mendengar dari satu pihak dan satu pihak lagi ditutup ruang untuk diterima rasionalnya.

Hal yang melibatkan agama dan akidah, jangan dicampuri dengan urusan politik kepartian. Kaji dahulu dan timbang seadilnya sebelum membuat konklusi/keputusan.

Seperti mana dengan Freemason, kita juga fobia dengan UMNO.

Seperti kata M.Nasir, Kenal dulu ketakutan yang kau simpan.

Nota kaki: untuk Freemasonophobia, harap dibacanya buku tulisan Alfred Russel Wallace, The Malay Archipelago (1869) untuk mencari dari masa asalnya perkataan MALAYSIA tu. Sekian.

Turut tertanya-tanya dimana sahabat yang lain (termasuk Tuan Pengasas Blog, Tuan Rapik yang sudah lama menghilangkan diri dari menulis). Harap yang lain sila rajinkan diri berpencak menulis dan jangan malas-malas di bulan puasa ini :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...