Thursday, August 04, 2011

The Pride of a Malay Race


The Great Malay, The Pride of Malay Race. Melayu Agung, Kebanggaan Bangsa Melayu
Dua gelaran yang begitu besar maknanya. Pengiktirafan yang sungguh tinggi diletakkan atas bahu seseorang yang diberi gelaran tersebut. Apakah sumbangan pada Bangsa Melayu oleh manusia hebat ini sehingga diberi gelaran dan sanjungan yang sebegitu tinggi ini?
Soalan paling utama, siapakah dia Melayu Agung ini dan menjadi kebanggaan buat semua umat Melayu? Tun Tuah Laksamana Melayu Agung? Atau Sultan Alauddin Riayat Shah al-Adil?
Siapa dia?
Dialah Jose Rizal. Melayu yang diangkat sebagai Melayu Agung dan Kebanggaan buat semua umat Melayu.

Soalan yang mungkin didalam benak tuan sekelian, siapakah Jose Rizal ini? Dan Melayukah Jose Rizal ini? Apa sumbangan sehingga mampu melintasi Sultan Alauddin Riayat Shah al-Adil? Peperangan manakah yang beliau telah kepalai sehingga layak mengatasi Laksamana Tun Tuah?
Persoalan paling utama, adakah orang Filipina yang hampir semuanya berugama Roman Katolik, berbahasa Tagalog sebagai bahasa rasminya, dan berbudaya yang diserapi dengan pengaruh Sepanyol [khususnya dari segi pemakaian dan tatacara kehidupan] boleh dianggap Melayu?
Sepertimana artikel sebelum ini, si penghikayat cuba untuk meneliti permasalahan berkenaan identiti Melayu itu. Siapa itu Melayu. Maka dirungkaikan Melayu itu mengikut kerangka yang telah dipersusun didalam Perlembagaan Malaysia, namun masalah timbul tentang konsep dan ma’na Melayu sendiri. Tidak juga dijumpai Melayu itu.
Namun Melayu itu wujud. Bukanlah bangsa yang baru digagaskan sepertimana dituduh sekelian manusia yang hasad akan Melayu, tak kurang juga me-LAYU yang tertutup mata hatinya.

Mat, dari ratu, LAMI LAMI BANGSA MALAYU...[Prasasti Matari Singa Jaya Himat, diterjemahkan oleh
Koninklijk Koloniaal Instituut Amsterdam, Mededeelingen XXIX, Afdeeling Volkenkunde, no. 4, Aaneinsten 1931-3, bertarikh antara kurun 13-15 masihi, sezaman dengan Majapahit, bertulisan Rencong]
Hatta prasasti dan tulisan terawal yang ditemui di Filipina itu sendiri merupakan yang ditulis didalam Bahasa Melayu Tua, dicampur dengan Jawa, Tagalog dan Bahasa Sanskrit.
Laguna Copperplate. Bertarikh 900 Masihi, menggunakan tulisan Kawi.

Mari kita cari Melayu di Filipina.
Kurun ke-19, semangat nasionalisme mula berlegar-legar di Kepulauan Filipina. Setelah Pemberontakan Cavite 1872, dan hukuman gantung 3 orang paderi Gomburza, Filipina mula ditiup dengan nasionalisme. Rakyat kolonial Sepanyol ini mula bangkit akibat perkauman yang begitu ketara antara rakyat Sepanyol lahir di Filipina dan Indios. Tenaga Indios dipergunakan sehabisnya untuk mengaut keuntungan. Walhasil, Rakyat Filipina didokong oleh para ilmuwan dan aristokrat tempatan mula memberontak.


Namun, masalah timbul setelah hampir 300 tahun dijajah, krisis identiti mula timbul. Sedangkan untuk menimbulkan semangat nasionalisme itu memerlukan semangat kebangsaan dan asabiah. [al-Muqaddimah, Ibn Khaldun]. Siapa itu bangsa Filipina? Apakah dengan nama Filipina itu mampu menyatukan semua suku-suku asli Filipina dari Mindanao hinggalah ke Manila?
Dicarinya apa yang boleh menyatukan Filipina itu untuk kemerdekaan. Dibongkarkan segala sejarah silam sebelum Kepulauan Filipina itu dijajah oleh puak Sepanyol.

Maka timbullah akan semangat MELAYU. Bersatu dibawah satu nama, satu warisan yang dikongsi bersama sebelum si penjarah dari Sepanyol Magellan dibantu dan dibimbing oleh Enrique the Black yang merupakan bangsa Melayu dari Melaka menjejakkan kaki ke bumi Filipina. Berkongsikan warisan yang telah dilupakan sejak penaklukan oleh puak Sepanyol. Bermulalah dan timbullah semangat Pan-Malayan, atau Melayu-Raya di bumi Filipina ini. Bahkan, pemula dan pencetus semangat nasionalisme di Asia Tenggara ini.
Jose Rizal, sebagai antara pendiri kepada semangat nasionalisme Filipina, mula mengerakkan pergerakan yang berasaskan Melayu. Dihimpunkan seluruh anak ‘Melayu’ dari Filipina, Dutch East Indies, Semenanjung dan Borneo di Paris. Revolusi yang diidamkan itu adalah bermatlamat untuk pembebasan seluruh umat Melayu dari penjajahan dari 3 buah kuasa besar, British, Belanda dan Sepanyol. Revolusi yang diidamkan itu juga hendaklah tamadun yang berpaksikan Melayu, berkongsi budaya yang beridentiti Melayu. [The Filipino Dream of a reunion with a Malay World, Alonto, Jurnal Alam Melayu, 2003]

Atas semangat yang ditiupkan oleh Jose Rizal (yang mana Melayu pertama yang meniupkan semangat nasionalisme dan perpaduan berasaskan keMelayuan), maka semangat Pan-Malayan atau Melayu Raya itu turut menaikkan semangat kepada yang lain, hingga tertubuhlah Perhimpoenan Orang Melayoe dengan moto Malaya Irrendenta oleh Wenceslao Quinto Vinzons. Lebih maju dari pergerakan yang digerakkan oleh Jose Rizal, Perhimpunan ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu, dan menggunakannya didalam ritual-ritual rahsia Perhimpunan. Kajian tentang Melayu juga giat dilaksanakan untuk mencari persamaan, dan mencari kekuatan didalam semangat nasionalisme yang diperjuangkan itu.

Nama MALAYSIA mula diidam-idamkan sebagai nama untuk menggantikan Filipina yang mana merupakan nama dari seorang Raja Sepanyol, Raja Phillip II. Malah satu draf Senat telah pun dibincangkan untuk menukar nama Filipina kepada Malaysia pada 1962. Namun akhirnya terbantut apabila Tunku Abdul Rahman memilih nama Malaysia sebagai nama bagi sebuah negara baru yang melihat gabungan antara Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan British Borneo. [Tambahan:Tunku pada mulanya mahu meletakkan nama negara baru ini sebagai MELAYU RAYA tetapi ditolak oleh bukan Melayu (Singapura) dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.]

Semangat kemelayuan Filipina tidak pernah padam. Sungguhpun gagasan idea yang dibawa Jose Rizal untuk membentuk satu negara Melayu gagal, namun semangat untuk bergabung dan bersatu dibawah nama Melayu tidak pernah padam. Maka digagaskan pula oleh President Macapagal yang juga ahli didalam Perhimpoenan akan Maphilindo, persatuan dan gagasan untuk ‘Negara-Negara yang berasal Melayu’ dan ‘diikat oleh Bangsa dan Budaya.’ [The Malays, Anthony Millner]. Namun, idea Maphilindo terbantut apabila Konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia terjadi walaupun akhirnya gagasan itu menjadi kenyataan dengan ASEAN walaupun tidak lagi terikat oleh Budaya dan Bangsa Melayu.

Orang Filipina sentiasa menganggap diri sebagai sebahagian dari Melayu. Perjuangan nasionalisme Filipina dimulakan dengan semangat dan roh Melayu, dan usaha tersebut terus dilaungkan sehinggalah penubuhan Maphilindo dan akhirnya ASEAN.

Persoalannya, adakah kita mampu untuk menerima mereka sebagai Melayu? Adakah kita sanggup untuk menerima Melayu yang bukan berugama Islam, sebagai Melayu? Adakah kita sanggup untuk menerima Filipina sebagai Kepulauan Melayu?
Sekadar membuka minda semua tentang definisi Melayu yang lebih besar dan selingan sebelum bergerak ke isu yang lebih besar

Atintya Aryamehr
Seterusnya: Melayu Mahawangsa.
Nota Tambahan: Gerakan pengislamisasian di Filipina dikenali dengan nama 'Balik Islam.' Balik Islam kerana Filipina dahulunya berugama Islam tetapi kedatangan Sepanyol dengan semangat Perang Salib telah memaksa penduduk di Kepulauan Filipina untuk menukar agama kepada Roman Katolik. Akhirnya, Islam hanya dominan di Mindanao yang mana berdirinya Kesultanan Sulu hinggalah tamatnya pemerintahan Kesultanan Sulu.

2 comments:

  1. Adakah kita sanggup untuk menerima Melayu yang bukan berugama Islam, sebagai Melayu?

    -Ada juga melayu di siam/thailand. mereka tidak memeluk Islam sbg agama mereka dan kekal sbg buddha.
    di thailand, mereka perlu bercakap thai. (ini bukan orang2 melayu muslim patani) justeru denagn agama budha dan bercakap thai, maka mereka ini di kategori/panggil siam.
    padahal jika melihat pd rupa paras, kita boleh tertukar mereka ini melayu kerr thai. orang siam thai asal kecinaan selalunya lebih cerah.

    itulah nasib melayu. di filipin mereka di murtadkan, di thailand, tanah mereka dirampas dan dipaksa oleh penakluk yg zalim.

    ramai lagi malayu di thailand yg hilang identiti. namun genetik mereka ialah malayu.

    ReplyDelete
  2. Melayu Islam itu hanya acuan Malaysia yang diperkukuhkan oleh perlembagaan. Melayu dan Rumpun Melayu atau juga dengan nama Malayo-Polynesia(Austronesia)melebar dari Madgascar, Asia Tenggara dan hingga kekepulauan Pasifik (Hawai hingga New Zealand) Di Filipna bukan sahaja penduduk Islam (bangsa Moro) tetapi termasuk Tagalog adalah Melayu. Betul sekarang muncul gerakan balik Islam kerana mereka sedar bahawa nenek moyang mereka pernah Islam

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...